Letak syarat jual minyak masak peket undang padah

IPOH – Tindakan sebuah premis perniagaan di Kampung Boyan dekat Taiping mengenakan syarat pembelian barangan lain sebelum dibenarkan membeli minyak peket satu kilogram (kg) membawa padah, apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata aktiviti penjualan bersyarat barang kawalan itu, dikesan pihaknya menerusi Ops Samar pada 10.30 pagi oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Taiping melalui aduan orang awam.

“Anggota penguat kuasa telah melakukan penyamaran dengan berpakaian preman melakukan uji beli dan mendapati premis telah mengenakan syarat minyak masak peket itu hanya dijual sekiranya pembeli turut membeli barangan lain di premis berkenaan.

“Berdasarkan kenyataan secara lisan pembelian bersyarat oleh peniaga tersebut, telah dijadikan sebagai bukti melakukan satu kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Kamalludin berkata sepasukan pegawai dan anggota KPDN beruniform telah membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas premis berkenaan dan menemukan 123kg minyak masak peket 1kg yang disimpan di dalam kotak yang tertera jenama barangan lain.

“Sehubungan itu kita telah menyita kesemua minyak peket terbabit berserta beberapa dokumen berkaitan dengan rampasan bernilai RM307.50.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana peniaga disyaki telah mengenakan syarat dalam penjualan barang kawalan minyak masak peket 1kg bersubsidi,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI