SEREMBAN – Lelaki yang disyaki terlibat dalam kes menggunakan bahan letupan buatan sendiri (IED) di Desa Palma, Nilai dipercayai menghasilkan peranti berkenaan akibat marah dan berdendam terhadap bekas teman wanita yang meninggalkannya sejak lima tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Johari Yahya berkata suspek berusia 62 tahun itu sering bercerita mengenai kekecewaan terhadap bekas teman wanitanya itu kepada seorang jiran.
“Bagaimanapun, soal siasat masih diteruskan, namun agak terhad memandangkan keadaan kesihatan suspek yang tidak mengizinkan dan masih dirawat. Setakat ini 24 saksi telah dirakam keterangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, lelaki berkenaan disambung reman selama tujuh hari bermula esok selepas tempoh reman berakhir hari ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata suspek kes letupan yang berlaku pada pagi 22 Dis itu ditahan di sekitar Batang Benar, Nilai pada 4.15 petang, 27 Dis, dengan kesan melecur pada muka, badan, tangan dan kaki.
Suspek dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan berdasarkan penemuan peranti serta peralatan yang dirampas di rumah sewa lelaki itu.
— BERNAMA


