Letupan, gegaran Ipoh: Polis sentiasa pantau operasi kuari

IPOH – Polis sentiasa menjalankan pemantauan di setiap kawasan operasi kuari di negeri ini secara ketat bagi memastikan aktiviti letupan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta jadual kelulusan yang ditetapkan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pemantauan itu merangkumi semakan rutin terhadap bahan letupan berjadual yang digunakan, rekod penggunaan serta penyimpanan stok bahan letupan.

“Hasil pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan setakat ini mendapati semua syarikat kuari berlesen mematuhi syarat lesen serta SOP yang ditetapkan.

“Aktiviti letupan juga dilaksanakan mengikut peraturan, jadual dan kelulusan yang sah. Tiada sebarang unsur keraguan dikesan setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Mes Pegawai Kanan Polis, dekat sini, pada Rabu.

Polis pantau letupan kuari Ipoh gegaran Ipoh 18 Jun, aktiviti kuari Perak, bom kuari Simpang Pulai, polis siasat gegaran, pemantauan kuari oleh IPK Perak
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintenden Mohamad Izam Nahar (kiri) kepada Ketua Polis Daerah Kerian baharu, Superintenden Jafri Md Zain (kanan) pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ketua Polis Daerah Gerik dan Ketua Polis Daerah Kerian di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 02 JULAI 2025.

Menurut Noor Hisam, pemeriksaan turut melibatkan 153 kawasan operasi kuari di sekitar bandar raya ini termasuk di Simpang Pulai, dengan antara SOP yang perlu dipatuhi ialah aktiviti letupan tidak dijalankan secara serentak serta mesti berada di bawah pengawasan pihak polis.

Dalam masa sama, beliau menolak dakwaan bahawa insiden bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di sini bulan lalu berpunca daripada pengoperasian aktiviti kuari.

Katanya, hasil semakan dan siasatan awal mendapati kesemua aktiviti letupan oleh syarikat kuari berlesen hanya dijalankan pada waktu petang, selepas jam 12 tengah hari.

“Laporan yang diterima menunjukkan aktiviti letupan oleh syarikat kuari berlaku sekitar jam 1 tengah hari dan paling lewat pada jam 4.08 petang pada hari kejadian.

“Sedangkan bunyi letupan dan gegaran yang dilaporkan orang awam berlaku sekitar jam 10.30 pagi. Oleh itu, adalah mustahil ia berpunca daripada operasi kuari kerana perbezaan masa yang ketara,” jelasnya.

Tambah beliau, siasatan terperinci masih dijalankan bersama tenaga pakar geologi daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Pada 18 Jun lalu, media melaporkan penduduk di sekitar bandar raya ini, khususnya di Klebang dan Chemor, dikejutkan dengan bunyi letupan dan gegaran kuat yang dirasai dalam radius beberapa kilometer. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tiada penemuan spesifik, bunyi letupan, gegaran kekal ‘misteri’

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI