KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membongkar ketidakpatuhan cukai sebuah syarikat yang disyaki terlibat dalam kartel jual beli kenderaan mewah selepas didapati gagal melaporkan pendapatan sebenar dianggarkan berjumlah RM70 juta.
Operasi penguatkuasaan itu dijalankan serentak di tiga lokasi sekitar Lembah Klang melibatkan premis perniagaan, kediaman pengarah dan sebuah firma juruaudit bagi memperoleh dokumen serta bukti berkaitan ketidakpatuhan cukai.
Syarikat dan pengarahnya kini disiasat di bawah subseksyen 112(1A) dan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 atas kegagalan melaporkan pendapatan dan membuat pernyataan yang tidak benar.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, operasi itu sebahagian daripada usaha meningkatkan pematuhan cukai dalam sektor bernilai tinggi.
“Ketidakpatuhan yang melibatkan jumlah besar bukan sahaja merencatkan hasil negara, malah menjejaskan keadilan sistem percukaian dan tidak harus dipandang ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan, LHDN komited untuk membanteras aktiviti pelarian cukai yang melibatkan pelbagai sektor.
“Antara kes pelarian cukai yang sedang dan akan diambil tindakan termasuk kegiatan perlombongan emas, penipuan (scam), penyalahgunaan status kebajikan untuk mengaburi transaksi, hasil perjudian dan aktiviti haram lain,” ujarnya.
LHDN menegaskan, tindakan itu menunjukkan komitmen berterusan mereka menegakkan undang-undang cukai, membendung ketirisan hasil negara serta mengekalkan integriti sistem percukaian tanpa kompromi terhadap cubaan pengelakan cukai. – MalaysiaGazette


