IPOH – Lima penyelidik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipilih bagi menerima Geran Pembangunan Kandungan Ekonomi Penjagaan berjumlah RM100,000.
Institut Darul Ridzuan (IDR) kenyataan memaklumkan, geran dari Kerajaan Negeri Perak yang disalurkan melalui IDR itu adalah sebahagian daripada strategi menjadikan Ipoh sebagai hab ekonomi penjagaan.
Katanya, ia akan memberi fokus kepada kesejahteraan komuniti, warga emas, penjagaan kesihatan serta pengukuhan inovasi sosial di negeri ini.
“Geran diperuntukkan bagi tujuan pembangunan kandungan bertemakan ekonomi penjagaan, yang turut disepadankan ‘matching grant’ dengan jumlah yang sama oleh pihak UPSI bagi menyokong aspek penerbitan.
“Lima penerima dipilih setelah melalui proses saringan yang dilaksanakan oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UPSI bersama dengan IDR.
“Ia juga berdasarkan kriteria pemilihan yang telus dan berimpak tinggi kepada keperluan pembangunan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Geran berkenaan disampaikan sempena pelancaran PEMIKIR Majlis Institusi Pengajian Tinggi (Majlis IPT): Lonjakan Peranan Institusi Pengajian Tinggi dalam Agenda Perak Sejahtera 2030 yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif IDR, Dr Maisarah Ahmad serta Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Dalam pada itu kenyataan sama memaklumkan, pelancaran PEMIKIR Majlis IPT juga menandakan langkah strategik Kerajaan Perak dalam menyatukan kepakaran akademik pelbagai institusi pengajian tinggi sebagai pemacu utama dasar pembangunan berteraskan ilmu.
Katanya lagi, program itu itu juga adalah kesinambungan daripada Perak Sejahtera 2030 Summit x PEMIKIR Darul Ridzuan yang dianjurkan pada 9 Oktober 2024 lalu.
“PEMIKIR Majlis IPT ini adalah gedung yang menempatkan kepakaran dan juga wadah yang menyatukan Pemikir dalam kalangan ahli akademik.
“Pemikir dari Majlis IPT ini bakal membantu untuk memperkasa dasar pembangunan negeri melalui sumbangan pemikiran, tenaga dan sumber,” ujar beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MSN Perak majlis sukan pertama dilengkapi kolam hidroterapi bernilai RM1.92 juta