Lima projek Rumah Perakku dijangka siap tahun ini – Sandrea

BAGAN SERAI – Sebanyak lima projek inisiatif rumah mampu milik kerajaan negeri iaitu Rumah Perakku oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dijangka akan disiapkan pada tahun ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, daripada angka itu, ia menjadikan sebanyak sembilan projek perumahan Rumah Perakku akan disiapkan sejak LPHP ditubuhkan pada tahun 2016.

Katanya, daripada projek berkenaan ia turut melibatkan 956 unit Rumah Perakku dan 286 unit Rumah Perwira yang mana ia disifatkan sebagai langkah proaktif dalam menjayakan soal Perumahan Sejahtera di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.

“Antara daerah yang diberi fokus kepada projek Rumah Perakku yang baharu adalah di Kinta, Manjung, Kerian dan Muallim.

“Daripada itu, LPHP menyasarkan pembinaan lebih banyak projek perumahan mampu milik itu kawasan di Jelapang dan Chemor dalam Daerah Kinta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Taman Seri Selinsing, dekat sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri serta Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Mohamed Akmal Dahalan.

57 unit rumah teres setingkat kos sederhana dibina di atas tanah berkeluasan 2.44 hektar itu dibangunkan melalui kaedah pemberian dana mudah cara daripada LPHP kepada pemaju swasta, Nazarin Sdn. Bhd.dengan kos berjumlah RM8.2 juta.

Projek Rumah Perakku yang siap dibina di Taman Seri Selinsing di Bagan Serai. foto AMIRRUL RABBANI RASHID

Di bawah projek berkenaan, pembeli ditawarkan dengan harga jualan minima RM95,000 bagi sebuah rumah dengan  keluasan 860 kaki persegi selain setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur, dan dua bilik air.

Dalam pada itu, Sandrea memaklumkan, kerajaan negeri ketika ini sedang dalam rangka kajian bagi memastikan Dasar Perumahan Negeri dapat ditambah baik sebagai usaha meningkatkan tahap pemilikan kediaman dalam kalangan rakyat.

“LPHP sedang menjalankan usaha dan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk membantu mengatasi isu-isu berbangkit (dalam kalangan pemohon).

“Ia termasuk isu pembiayaan atau pinjaman bank oleh pembeli yang selama ini menjadi antara isu utama, di mana mereka layak untuk memohon rumah tetapi gagal untuk mendapat pembiayaan daripada bank,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, kerajaan negeri menerusi LPHP sedang dalam usaha menambah baik kadar sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi menyelesaikan masalah kelewatan mendapatkan kediaman berkenaan.

Jelas beliau, kerajaan negeri juga dalam usaha menambah baik soal pengurusan PPR supaya insiden tunggakan sewa lebih RM30,000 di sebuah PPR di Negeri Sembilan tidak berlaku di Perak. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Kerajaan negeri berhasrat setiap rakyat Perak mampu miliki rumah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI