IPOH – Sebanyak lima buah rumah termasuk empat buah motosikal terbakar dalam kejadian di Jalan Budiman, Kampung Tengku Hussein Baru, Manjoi di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan mangsa.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu sekitar jam 7.45 malam.
Tambahnya, seramai 13 orang anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dan Ipoh bergegas ke lokasi bagi memadam kebakaran.
“Setibanya di lokasi didapati kebakaran membabitkan lima buah rumah satu tingkat jenis kelas B.
“Dua rumah dianggarkan musnah terbakar 80 peratus, sebuah rumah 50 peratus manakala dua lagi masing-masing 10 dan lima peratus.
“Empat buah motosikal turut terbakar dengan anggaran kemusnahan kesemuanya 90 peratus,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.
Beliau berkata, anggota bomba bertindak melaksanakan kerja pemadaman menggunakan tiga aliran 600 kaki bersumberkan air tangki jentera dan pili bomba berhampiran.
“Operasi terkawal sekitar jam 8.47 malam dan tamat sepenuhnya jam 11.38 malam,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan, Pusat Khidmat Rakyat ADUN Manjoi bersama orang kampung telah turun membantu mangsa kebakaran dengan menyampaikan bantuan awal makanan serta yang berkaitan.
Beliau berkata, pihaknya akan merujuk agensi berkaitan untuk mendapatkan bantuan susulan bagi membantu mangsa terlibat. – MG Perak
Artikel Berkaitan: