PARIT – “Selepas ini tiada lagi gurau senda serta tawa arwah dan kami akan merinduinya,” kata Syed Aiman Idris Syed Azmi, 21.
Syed Aiman yang juga sahabat baik kepada Allahyarham Mohamad Azizul Hakimi Aziz Jaafar, 19, yang maut dalam nahas jalan raya di Jerantut, Pahang, tengah malam Sabtu berkata, kali terakhir mereka berjumpa adalah pada Rabu malam.
Katanya, dia sempat menghantar Mohamad Azizul ke rumah kakaknya Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, yang turut meninggal dunia dalam nahas berkenaan di Ipoh.
“Kebetulan dia pulang bercuti di kampung dan minta tolong saya hantar naik motosikal ke Ipoh. Arwah beritahu dia bersama kakak, abang ipar, abang dan adiknya mahu ke Pahang pada Jumaat.
“Itulah kenangan terakhir saya dengan arwah di mana kami menaiki motosikal ke Ipoh dan sempat berbual seperti tiada apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Kunchor, Bota, di sini, pada Sabtu.
Tambah Syed Aiman dia masih terkejut dengan apa yang berlaku memandangkan mereka berkawan sejak kecil dan membesar bersama-sama.
Katanya lagi, Mohamad Azizul turut menunjukkan perubahan sikap beberapa hari sebelum kejadian di mana arwah kurang berbual seperti kebiasaannya.
“Saya perasan arwah kurang bercakap beberapa hari sebelum pergi namun tidak terfikir ia kelakuan pelik bila jadi macam ini baru saya terfikir,” katanya.
Terdahulu media melaporkan seorang pemandu dan empat penumpang sebuah kereta maut selepas terlibat dalam nahas jalan raya di Kilometer 7, Jalan Jerantut-Maran, Pahang, awal pagi Sabtu.
Mangsa yang maut menaiki Perodua Bezza disahkan sebagai Mohad Ikmal Ishak, 26; Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23; Mohammad Zulkifli Aziz Jaafar, 21; Mohamad Azizul Hakimi Aziz Jaaafar, 19 dan Nurul Hazwani Aziz Jaafar, 17. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: Nahas Jalan Raya: ‘Saya Sudah Larang Anak-Anak Pergi’ – Ibu Empat Beradik