IPOH – Kira-kira 98.05 hektar tanah di Chenderiang dalam Daerah Batang Padang telah dikhaskan sebagai Tapak Rizab Keterjaminan Makanan.
Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, tanah ini boleh dimohon untuk diusahakan bagi pelbagai aktiviti pertanian, perikanan dan penternakan dalam skala yang besar.
Menurutnya, melalui projek keterjaminan makanan ini, ekonomi penduduk tempatan dapat dipertingkatkan melalui penawaran peluang pekerjaan.
“Setakat ini, sebanyak lima syarikat telah diberi kebenaran masuk awal untuk memulakan projek di atas tapak tersebut setakat Oktober lalu.
“Pengusaha kecil boleh bekerjasama dengan pelabur besar dalam mengusahakan projek dalam Zon Keterjaminan Makanan ini.
“Untuk meningkatkan keupayaan ekonomi masyarakat setempat, pengusaha berskala besar dan kecil perlu memohon Lesen Pendudukan Sementara (TOL) di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Batang Padang.
“Perkara dapat mengelakkan isu peneroka haram yang mengusahakan aktiviti pertanian dan perikanan di atas tanah kerajaan secara berleluasa,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ishsam Shahruddin (UMNO-Ayer Kuning) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Zolkafly berkata, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak amat prihatin dengan usaha pelaksanaan Projek Keterjaminan Makanan di Daerah Batang Padang.
“Pendekatan yang diambil termasuklah perlaksanaan pajakan tanah bagi syarikat, individu, atau agensi yang ingin melabur dalam bidang pertanian, perternakan dan perikanan.
“PTG Perak menyatakan bahawa tujuan asal Pajakan Tanah Rizab ini adalah untuk menterjemahkan keterjaminan makanan dan sebagai pemacu kepada pelaksanaan Zon Keterjaminan Makanan, bermula di Chenderiang dan Ayer Itam Labu, Kampar sebagai ‘Pilot Project‘”, jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: