TAPAH – Seorang wanita warga emas maut selepas dilanggar sebuah motosikal dalam nahas yang berlaku di hadapan Dewan Bukit Pagar, Jalan Bidor Lama di sini awal pagi Isnin.
Difahamkan, mangsa berusia 80-an itu dilanggar seorang penunggang motosikal berusia 20-an dipercayai seorang anggota polis yang dalam perjalanan dari kediamannya ke tempat kerja di pekan Tapah.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan tersebut sekitar jam 6.55 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 80-an yang merupakan pejalan kaki telah melintas menyeberangi tangan secara tiba-tiba menyebabkan penunggang motosikal berkenaan tidak sempat mengelak dan berlaku pelanggaran.
“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Tapah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, penunggang motosikal terbabit yang turut mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Tapah menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak Polis Daerah Tapah di talian 05-401 1222 (Pusat Kawalan Daerah Tapah) atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, Inspektor Mohd Faizan bin Ahmad @ Mohammed Razikin di talian 013-208 7919,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga beranak nyaris maut, kereta terbakar langgar tiang elektrik


