MANJUNG – Litar pintas dipercayai punca kebakaran yang berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Ayer Tawar, dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kebakaran tersebut sekitar jam 11.20 pagi.
Menurutnya, ketika kejadian terdapat 16 orang murid dan empat orang guru di Blok A bangunan sekolah berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, sistem pendawaian lama di stor kelengkapan sekolah itu dipercayai menjadi punca berlakunya litar pintas sehingga menyebabkan kebakaran,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kesemua murid dan guru telah dikumpulkan di tempat selamat iaitu padang sekolah.
Terdahulu, MG Perak melaporkan, SJKT Ladang Ayer Tawar musnah kira-kira 70 peratus akibat kebakaran tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kebakaran itu melibatkan kantin, stor peralatan, tiga buah kelas dan sebuah makmal sains. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
SJKT Ladang Ayer Tawar terbakar