LKIM salur bantuan RM142,720 kepada nelayan

LUMUT – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terus komited dalam memperkasa komuniti nelayan di Perak dengan menyalurkan bantuan berjumlah RM142,720.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, daripada jumlah itu, seramai 52 orang nelayan dari kawasan Manjung Selatan menerima bantuan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM65,500 di bawah Program Peningkatan Pendapatan Touch Point.

Menurutnya, penyerahan bantuan bertujuan membantu meningkatkan pendapatan nelayan golongan B40 yang terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan, seterusnya memperbaiki taraf dan kualiti hidup mereka.

“Selain itu, bantuan ini bertujuan meningkatkan kecekapan serta kemahiran nelayan bagi menyokong peningkatan produktiviti sektor perikanan negara.

“Antara bantuan peralatan penangkapan ikan yang disalurkan termasuk dua unit enjin sangkut 15 kuasa kuda, 34 unit tong insulasi, 43 set pukat udang, 27 set pukat senangin, 26 set pukat bawal, 20 unit pukat hanyut, 117 unit pukat pelbagai serta 65 unit bubu ketam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rahmah Madani Pengerusi LKIM bersama Nelayan Manjung Selatan di Batu 8 Lekir, Sitiawan dekat sini pada Sabtu.

Muhammad Faiz berkata, selain itu, seramai 114 orang nelayan menerima Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan berjumlah RM77,220 melibatkan Pusat Nelayan Kawasan (PNK) Matang, PNK Sungai Tinggi dan PNK Manjung Utara.

“Kita berharap supaya nelayan lebih proaktif dalam memodenkan teknik penangkapan ikan dengan menguasai teknologi perikanan terkini bagi meningkatkan hasil tangkapan dan seterusnya memperkukuh taraf sosio-ekonomi komuniti nelayan,” ujarnya.

Pada majlis sama, seramai 13 pelajar dari Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM) Pusat Kuala Lumpur, turut menyampaikan sumbangan peralatan persekolahan kepada 10 orang anak nelayan asnaf cemerlang yang terdiri daripada lima pelajar sekolah menengah dan lima pelajar sekolah rendah.

Sumbangan tersebut merangkumi beg sekolah UUM, topi UUM, botol air UUM, alat tulis serta wang tunai bernilai RM50 bagi setiap pelajar.

Program ini bukan sahaja bertujuan menyantuni komuniti nelayan, khususnya anak-anak asnaf nelayan di Manjung Selatan, malah turut menyokong perkembangan pendidikan serta kebajikan mereka.

Di samping itu, program ini memberi peluang kepada pelajar Program Separuh Masa PACE UUM untuk memperoleh pengalaman dalam perancangan, pengurusan, dan pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan, khususnya komuniti nelayan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

LKIM Perak sasar 1,000 siri jualan ikan murah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI