LMT 2 bernilai RM282 juta dijangka beroperasi 2026

LUMUT – Projek terminal baharu Lumut Maritime Terminal 2 (LMT 2) yang dikendalikan Lumut Maritime Terminal Sdn. Bhd. (Lumut Port), dengan nilai pelaburan sebanyak RM282 juta dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang 2026.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek berkenaan bakal menjadi pemangkin dalam memperluaskan potensi Lumut sebagai Pengendali Terminal Kargo Pukal yang paling efisien di Asia Tenggara.

“Projek yang terletak di Batu Undan, Segari ini, membabitkan pelaburan sebanyak RM282 juta bagi Perancangan Perniagaan Strategik 10 tahun Lumut Port, bermula pada tahun 2016 hingga tahun 2026 yang bertujuan untuk meningkatkan kapasiti dan kecekapan operasi pelabuhan.

“Langkah ini penting bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan memenuhi keperluan pengangkutan maritim di Daerah Manjung dan Perak secara keseluruhan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah LMT 2 di Segari, di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, LMT 2 dirancang untuk menampung pertumbuhan industri maritim dan permintaan logistik global dengan meningkatkan kapasiti pelabuhan dan kecekapan operasi.

Ujar beliau, Kerajaan Negeri Perak berhasrat menjadikan Lumut Port sebagai Pengendali Terminal Kargo Paling Cekap di Asia Tenggara selaras dengan inisiatif Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), yang bertujuan untuk memacu dan menggalakkan pertumbuhan di Perak dan kawasan utara.

“Tonggak utama projek termasuk peningkatan kapasiti dan kecekapan operasi, pembangunan infrastruktur yang sesuai dengan perkembangan industri, dan penyediaan kemudahan yang moden dan selamat.

Sekitar kawasan Lumut Maritime Terminal 2 di Segari, Lumut. Foto ABDULLAH YUSOF, 04 MAC 2024.

“Projek ini juga merupakan sebahagian dari pelan pembangunan ekonomi negeri yang menyokong agenda Pelan Perak Sejahtera 2030, serta mewujudkan kira-kira 500 peluang pekerjaan baharu dalam industri maritim.

“Perancangan dan pembinaan LMT 2 juga memberi penekanan kepada pemeliharaan kualiti alam sekitar, sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan penggunaan sumber mineral dan alam semula jadi diuruskan mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya.

Saarani berkata, pembangunan LMT 2 akan dilaksanakan dalam tiga fasa melibatkan penyediaan asas tapak dengan pembelian tanah dan kerja-kerja penyiapan kawasan dan pembangunan komponen utama terminal termasuk kerja-kerja pengerukan dan pembinaan infrastruktur darat dan marin.

Tambah beliau, fasa ketiga pula adalah menyempurnakan pembangunan terminal dengan kelengkapan dan peralatan kendalian sesuai dan ia dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun 2025.

Sementara itu, Saarani berkata, LMT 2 yang juga milik anak syarikat Kerajaan Negeri Perak, Lumut Port, turut menyasarkan untuk mengendali tujuh juta tan metrik kargo apabila beroperasi sepenuhnya pada 2026.

Beliau berkata, projek berkenaan juga mampu mencipta kira-kira 500 peluang pekerjaan serta membuka rangkaian operasi pembekal dan perniagaan dalam industri maritim.

“LMT2 dijangka mula beroperasi pada Ogos tahun depan dan mampu membenarkan kapal seberat 50,000 tan berlabuh berikutan kedalaman airnya 12 meter.

“LMT2 juga akan mengendalikan muatan berasaskan mineral seperti batu kapur serta pasir silika, berbeza dengan LMT1 yang mengendalikan 5.5 juta tan metrik kargo pukal dengan kapal dibenarkan berlabuh 30,000 meter tan berasaskan kedalaman 10 meter air,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

PRK enam Parlimen: ‘War room’ UMNO Perak sentiasa bersedia

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI