Loghat Perak wajar dipelihara melalui ‘gerakan sekampung’

BAHASA pertuturan atau loghat Perak yang asli dikatakan merupakan bahasa yang ditutur penduduk di Daerah Perak Tengah dan Kuala Kangsar.

Meskipun begitu, kedua-dua daerah ini mempunyai pertuturan loghat yang berbeza meskipun ia merupakan loghat Perak.

Ini kerana faktor geografi atau muka bumi, migrasi, sejarah dan demografi juga memainkan peranan penting dalam penggunaan bahasa yang dituturkan.

Biarpun loghat ini masih dituturkan oleh masyarakat di Perak Tengah dan Kuala Kangsar realitinya dialek Perak mula diancam ‘kepupusan’ kerana golongan muda asal Perak tidak lagi berminat menuturkannya.

Bagaimanapun pelbagai usaha dijalankan melibatkan semua pihak disetiap peringkat dalam memelihara dan memastikan loghat Perak tidak pupus ditelan zaman.

Para penduduk terdiri daripada pelbagai lapisan usia di kawasan kampung menjadi pelapis bagi meneruskan loghat Perak. Foto ABDULLAH YUSOF.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr Maisarah Ahmad berkata, bahasa bukan hanya sekadar warisan penting bagi sesebuah bangsa atau kaum bahkan merupakan lambang tamadun sesuatu bangsa yang perlu dipelihara dan perlu diketengahkan terutamanya dalam era globalisasi ini.

Beliau berkata, disebabkan itu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan IDR dalam memperkaya dan memperkukuh bahasa etnik dan dialek khususnya di Perak.

Jelasnya lagi, Perak yang terdiri daripada 12 daerah dengan 92 buah mukim sudah pasti menjadi sebuah negeri yang kaya dengan dialek.

“Jadi di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, menerusi Ekonomi Pengalaman, iaitu di bawah Program Semarak Warisan, dialek Perak diangkat dan dijadikan produk pelancongan yang diketengahkan selain makanan, pakaian dan hasil seni.

Norliza mempengerusikan forum bertajuk Ekspolari Bahasa dan Linguistik Korpus melibatkan ahli panel Imran Ho (kiri), Maisarah (dua dari kiri) serta Fadzly ( kanan) di UPSI baru-baru ini.

“Usaha memulihara bahasa etnik dan dialek ini bukan usaha pihak tertentu sahaja tetapi usaha secara ‘gerakan sekampung’ iaitu gandingan bersama antara kerajaan negeri, ahli akademik dan industri,” katanya.

Maisarah turut menyeru agar ahli akademik menjalankan kajian dan mendokumentasikan dialek serta bahasa etnik atas dokongan kerajaan negeri, sementara pihak industri harus berganding bahu mendanai kajian-kajian ini.

“Ini kerana dialek dan bahasa etnik adalah harta warisan yang penting dipelihara dan akhirnya dapat diperkenalkan kepada pelancong asing yang secara tidak langsung dapat membangunkan sosio ekonomi negari dan negara.

“Saya juga ingin mencadangkan agar lebih banyak iklan menggunakan dialek atau bahasa etnik, di samping lagu dan filem-filem tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum “Ekspolari Bahasa dan Linguistik Korpus” anjuran Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan idris (UPSI) sempena Persidangan Antarabangsa Penyelidikan Korpus 2024 baru-baru ini.

Forum berkenaan dipengerusikan Ketua SIG Linguistik Korpus UPSI, Prof. Madya Dr. Norliza Jamaluddin dengan Maisarah serta Naib Canselor Universiti Perdana, Prof. Datuk Dr. Imran Ho dan Ketua Jabatan Peristilahan dan Leksikologi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Fadzly Tajuwid sebagai barisan panel.

Penganjuran Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti ‘Moh Labun Loghat Perak’ pada tahun lalu membantu memastikan Loghat Perak tidak hilang ditelan zaman. Foto ABDULLAH YUSOF.

Sementara itu, Imran Ho turut membangkitkan soal usaha untuk menjadikan bahasa etnik dan dialek sebagai data perbahanan dalam linguistik korpus.

Ujar beliau, ia penting bagi mengelak kepupusan bahasa ini kerana selama ini hanya bahasa dominan sahaja yang dijadikan data bahasa.

“Bagaimanapun, terdapat cabaran yang besar dalam menghimpunkan data bahasa ini disebabkan data-data ini kebanyakannya dalam bentuk lisan dan amat sedikit atau hampir tiada bagi dialek atau bahasa tertentu dalam bentuk tulisan.

“Justeru, saya berpandangan bahawa kajian dialek dan bahasa etnik menerusi linguistik korpus perlu dirancakkan lagi bagi membolehkan keunikan bahasa ini diketengahkan,” jelasnya.

Mewakili DBP, Fadzly berkata, menerusi penyusunan kamus misalnya Kamus Dewan Perdana, 10,000 daripada 120,000 entri yang dimuatkan dalam kamus ini terdiri daripada dialek dan kata sukuan.

“Memastikan dialek dan bahasa etnik ini terus dipelihara, DBP menerbitkan glosari dialek Melayu antaranya dialek Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, dan Melaka.

“Pada masa yang sama, daftar kata bahasa sukuan seperti Kamus Melayu Sarawak, Kamus Iban turut disusun agar bahasa ini dapat didokumenkan, malah DBP turut mengutip dialek dan dijadikan data korpus untuk kajian linguistik korpus,” katanya.

Usaha pempengaruh media sosial yang juga usahawan Wee Fook Seong 34, atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Wee’ mengajar isteri Goh Zhi Xuan, 27, serta anaknya berbahasa Loghat Perak melalui media sosialnya sedikit sebanyak membantu loghat Perak dikenali. Foto ABDULLAH YUSOF.

Sementara itu, walau berbeza warna kulit, ia tidak menghalang pempengaruh media sosial yang juga usahawan, Wee Fook Seong atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Wee’ menguasai loghat Perak dengan baik.

Selain berkongsi tentang tips berkenaan penjagaan kereta, telatah Fook Seong, 34, yang mengajar isterinya, Goh Zhi Xuan, 27, untuk berbahasa Loghat Perak menerusi rakaman video pendek turut menarik perhatian warga maya sehingga dia berjaya memperoleh lebih 350,000 pengikut pada laman Tik Tok.

Menceritakan detik-detik awal, Fook Seong berkata, dia sememangnya meminati akan loghat Perak sejak daripada kecil.

Anak jati FELDA Lasah, Sungai Siput itu berkata, dialek itu kerap didengar olehnya kerana dibesarkan dalam suasana dan persekitaran yang majoritinya didiami masyarakat Melayu.

“Jadi sebab itu saya suka untuk memahami dan mendalami loghat Perak ini sendiri. Tambahan, ia memudahkan saya untuk bergaul dengan lebih rapat terhadap rakan-rakan dari masyarakat Melayu.

“Kalau dapat ‘melabun’ (bersembang) dalam dialek Perak dengan ‘deme’ (mereka), boleh jadi sampai dua ke tiga jam. Sebab kita dapat rasa dekat, walau berbeza kaum,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pak Wee gemar ‘melabun’ loghat Perak

MGPerak: Moh Labun Loghat Perak! Asal Usul Dialek Perak Perlu Diperkenalkan Semula

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI