Lonjakan kes orang hilang tidak benar – Saifuddin

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan mengenai lonjakan kes melibatkan orang hilang.

Beliau berkata, data yang diberikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya menunjukkan sebanyak 900 kes orang hilang setahun.

“Ini kerana, nampaknya seperti terdapat lonjakan kes orang hilang di luar sana. Faktanya dalam lima tahun terakhir puratanya sekitar 900 kes setiap tahun.

“Tidak ada corak lonjakan mendadak dan itulah yang ditunjukkan oleh data kami dari tahun 2020 hingga Jun 2024,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Himpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan orang hilang yang semakin meningkat dalam temubual bersama radio SinarFM pagi tadi.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution bagaimanapun berkata, peratusan mereka yang ditemui semula adalah pada kadar 85 peratus.

“Daripada kes orang hilang yang dilaporkan, peratusan yang ditemui itu tinggi antara 85 hingga 90 peratus. Jadi kekal hilang itu sekarang 10 hingga 15 peratus.

“Ini data terbaharu yang saya dapat daripada JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah),” jelasnya.

Terbaharu, kes orang hilang melibatkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun di Johor Bahru yang ditemui semalam.

Albertine Leo Jia Hui telah hilang dari acara Bon Odori di Johor Baru ditemui selamat di sebuah hotel di Batang Kali, Hulu Selangor.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Albertine dilaporkan hilang sekitar 8.30 malam pada Sabtu semasa perayaan festival Jepun Bon Odori di Eco Galleria di Johor Bahru.

Sebelum ini, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, sejumlah 429 individu berusia 18 tahun ke atas masih dilaporkan hilang di seluruh negara.

Jumlah itu direkodkan bagi tempoh tahun 2022 hingga Jun lalu membabitkan 314 lelaki dan 115 wanita. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI