KUALA LUMPUR – Malaysia mencatat kejayaan membanggakan apabila melonjak 11 anak tangga dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia 2025, sekali gus menduduki tempat ke-23 kedudukan terbaik negara sejak lima tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan ketara itu dianggap sebagai petunjuk jelas bahawa usaha reformasi di bawah pentadbiran Kerajaan Madani mula menunjukkan hasil yang positif.
“Alhamdulillah, pencapaian ini membuktikan bahawa Malaysia mampu melonjak jauh apabila disokong oleh tekad politik, iltizam seluruh jentera kerajaan serta kerjasama erat dengan sektor swasta,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, laporan tersebut menilai pelbagai aspek keupayaan sesebuah negara untuk bersaing di peringkat global, termasuk prestasi ekonomi, kecekapan pentadbiran, keupayaan teknologi serta persekitaran perniagaan dan pelaburan.
Tambahnya, Malaysia mencatat prestasi memberangsangkan dalam sektor perdagangan, pentadbiran awam yang lebih cekap serta persekitaran pelaburan yang semakin mesra dan berdaya saing termasuk faktor-faktor utama yang menyumbang kepada lonjakan ranking tersebut.
Kataya, pencapaian itu adalah hasil usaha bersama seluruh rakyat Malaysia dan merupakan asas penting dalam misi jangka panjang negara untuk berada dalam kelompok ekonomi paling berdaya saing di dunia menjelang 2033.
“Ini adalah milik semua rakyat Malaysia. Bersama-sama, kita melakar masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” jelasnya. – MalaysiaGazette