BIDOR – Seramai 16 individu termasuk empat kanak-kanak terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori lima tan yang membawa muatan ikan serta lima kenderaan lain di Kilometer 341.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dekat sini, malam ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.26 malam.
Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan tersebut.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori lima tan, dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora dan Toyota Alphard.
“Selain itu, dua buah kereta jenis Honda City dan Proton Persona serta kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HRV turut terlibat dalam nahas tersebut.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori muatan ikan tersebut gagal membrek lalu merempuh Proton Exora sebelum melanggar beberapa kenderaan lain yang berada di hadapan.
“Seramai 16 individu melibatkan lapan lelaki, empat wanita dan empat kanak-kanak terselamat dalam kemalangan itu.
“Tiada mangsa yang tersepit atau mengalami kecederaan serius, namun beberapa orang dilaporkan mengalami simptom pening dan trauma,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, ketua operasi segera menjalankan penilaian situasi dan mengaplikasikan konsep SAVER iaitu Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap.
“Seterusnya, ketua operasi mengarahkan anggota memeriksa dan membuat pemantauan di sekitar lokasi kejadian bagi memastikan tiada mangsa yang mengalami kecederaan serius.
“Mangsa-mangsa yang berada dalam kenderaan terbabit dipimpin keluar dan dibawa ke tepi jalan untuk ditempatkan di kawasan yang selamat sementara menunggu ketibaan pihak polis dan ambulans.
“Selain itu, anggota bomba juga bertindak menenangkan mangsa yang berada dalam keadaan trauma,” jelasnya.
Sabarodzi memaklumkan, empat orang mangsa yang mengalami pening kepala dan trauma telah dibawa ke hospital berdekatan menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Operasi kemudiannya diserahkan kepada pihak polis dan pengurusan PLUS untuk tindakan susulan termasuk pengalihan kenderaan serta kawalan trafik,” ujarnya.
Katanya, operasi terkawal sekitar jam 8.05 malam dan tamat sepenuhnya jam 8.20 malam.
Terdahulu, akaun rasmi X PLUS Trafik memaklumkan kemalangan tersebut mengakibatkan trafik sesak sejauh lapan kilometer. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki maut tersepit dalam kemalangan dua kenderaan di Ayer Tawar