TAPAH – 12 kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan malim gunung cedera selepas lori yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter di Jalan Gunung Batu Putih- Hutan Lipur Kuala Woh, dekat sini, pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun bersama 11 penumpang berkenaan sedang perjalanan pulang setelah selesai menjalankan tugas memasang papan tanda sekitar gunung Batu Putih.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika sedang menuruni bukit dalam cuaca hujan.
Katanya, ketika itu tayar sebelah kiri lori terbabit disyaki telah tergelincir ke sebelah kiri jalan kerana keadaan jalan yang sempit dan licin.
“Akibat daripada itu, lori tersebut telah hilang kawalan terbabas dan berpusing beberapa kali jatuh ke gaung sedalam anggaran lima meter.
“Kesemua yang terlibat dalam kemalangan ini telah berjaya keluar daripada lori tersebut dengan bantuan orang awam dan pihak bomba yang sampai di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Johari, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.
Johari turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada serta merancang perjalanan dengan baik, khususnya pada musim tengkujuh bagi mengelakkan risiko kemalangan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pemandu lori bawa makanan sejuk beku cedera tersepit


