TAPAH – Sebuah lori kontena yang membawa bahan sisa kimia terbalik di parkir lori belakang kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di sini malam tadi.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, kenderaan itu membawa muatan sisa Waste Ethanol Flammable Liquid – SW 322 melibatkan 15 unit bekas pukal perantaraan (IBC Tank) serta Sludge SW 204 sebanyak 24 Jumbo Bag.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sekitar jam 8.19 malam yang memaklumkan terdapat bau kuat bahan kimia dari lori kontena tersebut dan dikhuatiri berbahaya.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati pemandu lori berada dalam keadaan selamat dan hanya kontena yang membawa bahan kimia itu terbalik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh dikerahkan ke lokasi bagi membantu operasi, manakala jentera tangki air BBP Bidor digerakkan sebagai sokongan bekalan air bersih.
Shazlean berkata, tindakan awal yang diambil oleh ketua operasi adalah dengan meminta kerjasama pihak PLUS untuk menutup laluan masuk ke kawasan parkir lori di belakang R&R Tapah serta mengarahkan semua lori yang diparkir berhampiran dipindahkan segera sebagai langkah keselamatan.
“Pihak PLUS turut berusaha mendapatkan bantuan kren, manakala syarikat terlibat menghantar bantuan teknikal termasuk lori tangki baharu, IBC Tank dan Jumbo Bag sebagai gantian, bersama pasukan penyelamat syarikat,” jelasnya.
Tambahnya, pasukan Hazmat bersama jurutera syarikat telah menjalankan pengesanan sebanyak dua kali dan mendapati tiada bacaan batas ledakan bawah (LEL) direkodkan, sekali gus mengesahkan tiada risiko atau ancaman keselamatan di lokasi kejadian.
“Selepas pengesahan dibuat, pihak syarikat meneruskan kerja-kerja pemindahan bahan kimia ke bekas baharu, manakala anggota bomba melakukan pemantauan sepanjang proses tersebut sehingga operasi selesai.
“Operasi tamat sepenuhnya 11 jam kemudian pada jam 7 pagi tadi (Rabu),” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


