LPHP sediakan Pusat Jagaan Kanak-kanak Iman di PPR Seri Kepayang

IPOH – Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menaik taraf sebuah ruang di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pangsapuri Seri Kepayang di sini, untuk dijadikan pusat jagaan harian.

Pusat Jagaan Kanak-Kanak Iman yang mula beroperasi sejak Mac lalu itu diwujudkan bagi membantu lebih ramai golongan sasar dan secara tidak langsung dapat menjamin keselamatan kanak-kanak untuk diletakkan oleh ibubapa atau penjaga mereka.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Zaiteena Wan Nasir berkata, sebelum ini ruang tersebut kurang digunakan dan LPHP mengambil langkah menaik taraf menjadikannya pusat jagaan harian mengikut spesifikasi yang ditetapkan agensi berkaitan seperti bomba, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Menurutnya, pusat jagaan itu menerima kanak-kanak seawal usia empat hingga 10 tahun dan mampu menempatkan sehingga 25 kanak-kanak pada satu-satu masa.

LPHP sediakan Pusat Jagaan Kanak-kanak Iman di PPR Seri Kepayang
Pusat Jagaan Kanak-Kanak Iman di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pangsapuri Seri Kepayang, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 09 DISEMBER 2025.

“Sebelum ini, ruang itu jarang digunakan, jadi kita naik taraf dan dapatkan spesifikasi pusat jagaan harian daripada pihak bomba, PBT dan MBI.

“Kemudian, kita mengeluarkan kos menaik taraf dewan itu untuk dijadikan pusat jagaan harian kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan pusat jagaan tersebut mengenakan yuran RM250 sebulan bagi transit separuh hari dan RM320 sebulan untuk transit sehari penuh.

“Kita mengenakan bayaran itu selepas membuat kajian pasaran bagi perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di sekitar kawasan tersebut yang mengenakan bayaran sekitar RM500 sebulan. Harga itu hampir separuh daripada harga pasaran dan itu cara kami membantu.

LPHP sediakan Pusat Jagaan Kanak-kanak Iman di PPR Seri Kepayang
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Zaiteena Wan Nasir. Foto ABDULLAH YUSOF, 09 DISEMBER 2025.

“Untuk penyewaan ruang tersebut pula, kita kenakan kadar nominal kepada pihak pengoperasi. Apabila kita bantu dari segi kadar sewaan nominal, mereka dapat mengurangkan kadar yuran kepada anak-anak penduduk,” ujarnya.

Zaiteena berkata, pusat jagaan tersebut juga dianggap profesional kerana perlu mematuhi peraturan serta spesifikasi yang ditetapkan bagi pengoperasian sebuah pusat jagaan kerana pengusahanya perlu mendapatkan lesen daripada MBI dan berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), termasuk menghadiri kursus yang ditetapkan.

“Pengusaha perlu mendapatkan lesen daripada MBI dan perlu rujuk dulu JKM serta menghadiri kursus berkaitan cara pengoperasian pusat jagaan harian kanak-kanak. Jadi, kita pastikan penjaga ini profesional dan mengikut syarat-syarat ditetapkan JKM.

“Selain itu, pusat berkenaan turut menyediakan kurikulum ringan dan ruang ‘sick bay’ untuk mengasingkan kanak-kanak yang kurang sihat.

LPHP sediakan Pusat Jagaan Kanak-kanak Iman di PPR Seri Kepayang
Pengusaha Pusat Jagaan Kanak-Kanak Iman, Salasiah Zakaria ketika sesi mengajar di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pangsapuri Seri Kepayang, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 09 DISEMBER 2025.

“Ibu bapa yang pergi berkerja rasa selamat meletakkan anak mereka di tempat yang harga berpatutan tetapi tidak berkompromi dari segi kualiti penjagaan.

“Kita berharap selain mendirikan tempat teduh di PPR Seri Kepayang, kita menyediakan perasaan selamat kepada ibu bapa dan memberi peluang kepada mereka untuk bekerja bagi menambah pendapatan keluarga,” jelasnya.

Sebelum ini, LPHP menganjurkan Program Tuisyen Percuma bagi membantu anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di PPR Pangsapuri Simpang Perdana, Taiping melibatkan 20 orang murid berusia antara lapan hingga 10 tahun. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

LPHP julung kali anjur tuisyen percuma untuk anak-anak PPR

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI