IPOH – Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyasarkan sekurang-kurangnya mencapai 70 peratus daripada 37,550 kediaman terpilih di seluruh negara bagi memperolehi maklumat dan data berhubung Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keenam (KPKM-6) 2024.
Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan LPPKN Hairil Fadzly Md Akhir berkata, pihaknya akan berusaha untuk mencapai kadar tersebut menjelang akhir tahun ini.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 1,615 tempat kediaman sudah dilawati di seluruh negara manakala di Perak sebanyak 149 daripada 2,860 kediaman telah dilawati.
“Apabila satu kajian itu dapat mencapai kadar respon 70 peratus ke atas, ia akan dilihat sangat teliti dan boleh dipercayai.
“Kita berharap dengan kerjsama dan komitmen daripada kerajaan negeri bersama pihak pentadbiran daerah membantu meningkatkan lagi jumlah responden untuk dicapai pada sesi lawatan yang seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) sempena Kerja Lapangan KPKM-6 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.
Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan LPPKN bagi melancarkan proses kajian tersebut.
Katanya, kajian ni penting bagi kita melihat isu kependudukan, kekelurgaan serta melihat dari sudut kesihatan reproduktif.
“Saya kira kajian ini bersesuaian dengan gagasan pelan Perak Sejahtera 2030 untuk melihat kesejahteraan rakyat di Perak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memastikan tidak ada penipuan berlaku sewaktu kajian tersebut dijalankan, pembanci bertugas mempunyai penampilan yang telah mengikut garis panduan ditetapkan.
“Dari segi pemakluman, kita akan uar-uarkan apabila membuat sesi libat urus hari ni supaya pentadbiran daerah boleh membantu kita.
“Bila turun di lapangan, akan ada wakil ketua kampung atau penghulu turun bersama-sama buat kajian dan orang kampung khususnya akan lebih percaya bahawa ini adalah genuine,” jelasnya.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui LPPKN telah memulakan kajian tersebut sejak 15 Julai lalu dan berakhir pada 31 Disember ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan: