TANJUNG MALIM – Maahad Tahfiz Masjid Al-Hidayah di Bandar Behrang 2020 dekat sini, memerlukan sekurang-kurang RM1.6 juta untuk pembinaan bangunan yang mempunyai kemudahan asrama dan pentadbiran.
Mudirnya, Mohd Hafiezi Hashim berkata, buat masa ini seramai 12 pelajar tahfiz berusia antara tujuh hingga 14 tahun kini berteduh dan mengikuti sesi pembelajaran sebuah rumah kedai serta masjid berkenaan.
Menurutnya, pusat tahfiz yang ditubuhkan pada tahun 2014 itu kini mempunyai tiga tenaga pengajar termasuk dirinya yang turut mengendalikan pusat berkenaan.
“Pelbagai usaha dilakukan seperti menjual kalendar dan minuman bagi menambah dana di samping sumbangan orang ramai dalam bentuk sedekah dan wakaf.
“Justeru, kami sangat mengharapkan sumbangan orang ramai dalam bentuk sedekah, wakaf atau zakat daripada mana-mana individu atau badan korporat agar dana dapat ditingkatkan dan membina bangunan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Beliau berharap, pembinaan bangunan tersebut bersebelahan Masjid Al-Hidayah dapat dilaksanakan sekali gus merealisisasikan impian anak-anak tahfiz untuk berada dalam suasana yang lebih selesa.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd Hafiezi di talian 019-507 6537 atau terus menyumbang menerusi nombor akaun Bank Islam Maahad Tahfiz Masjid Al-Hidayah Bandar Behrang 2020 (08068010039681). – MG Perak
Artikel Berkaitan: