Mahasiswa Perak perlu kreatif jayakan Perak Sejahtera 2030

TANJ0NG MALIM: Mahasiswa kelahiran Perak yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negeri perlu menjadi kreatif dalam memastikan agenda pembangunan ekonomi dan negeri dapat dijayakan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, ini kerana mereka merupakan barisan pelapis pimpinan negeri akan datang yang bakal memastikan Pelan Perak Sejahtera 2030 berjaya atau tidak.

Menurut Khairudin, sebagai seorang mahasiswa, anak-anak kelahiran Perak perlu kuat, rajin, serta terus komited dalam menamatkan pengajian dan seterusnya berkhidmat di negeri ini.

“Kerajaan Negeri Perak dibawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani telah menggarap Pelan Perak Sejahtera 2030 dan enam tahun lagi sahaja sebelum 2030 menjelma.

“Jadi yang akan memastikan pelan itu berjaya serta dapat dicapai adalah anda mahasiswa dan mahasiswi kelahiran Perak.

“Oleh itu, anda semua mesti menjadi pemikir yang hebat dan memikirkan apa yang boleh dilakukan apabila berjaya khususnya kepada negeri Perak yang dicintai,” katanya.

Mahasiswa Perak perlu kreatif jayakan Perak Sejahtera 2030
Persembahan pelajar pada Malam Kebudayaan bersempena Karnival Siswa Perak Sejahtera 2030 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim. Foto ABDULLAH YUSOF, 5 JANUARI 2024.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Kebudayaan Karnival Siswa Perak Sejahera 2030, di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, malam tadi.

Khairudin turut mengingatkan kepada para peserta karnival yang terdiri daripada 805 pelajar kelahiran Perak yang sedang menuntut di IPT seluruh negeri agar tidak hanya melafazkan kata-kata tanpa sebarang tindakan.

Ujar beliau, mereka merupakan golongan pelapis yang menjadi harapan Kerajaan Negeri Perak untuk memastikan negeri ini terus maju dan harmoni.

“Anda merupakan harapan yang cukup tinggi daripada kami kepimpinan Kerajaan Negeri Perak dan kami berharap apabila anda memperoleh segulung ijazah berbaktilah kepada Perak tercinta.

“Utamakan negeri sendiri daripada menabur bakti kemahiran di negeri-negeri lain dan menjadi penggerak serta pemangkin dalam memastikan agenda kemajuan, pembangunan dan ekonomi Perak dapat dilaksanakan,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

24 tahun bergelar pendidik, Khairudin perkasa pendidikan di Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI