Mahfuz gesa SPRM percepat siasatan kes ‘lembu fidlot’ libatkan Ahli Parlimen PN

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa bertindak tegas dan mempercepatkan siasatan terhadap seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkait projek usahasama ternakan lembu milik kerajaan negeri Kedah.

Gesaan itu disuarakan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar yang menekankan bahawa sekiranya wujud bukti yang jelas, tindakan undang-undang perlu diambil segera tanpa berlengah, termasuk oleh pihak pendakwaan.

“Tindakan-tindakan kalau ada cukup bukti yang nyata dan sebagainya harus diambil tindakan yang segera. Begitu juga dengan pihak pendakwaan, tidak boleh tunggu terlalu lama untuk mendakwa satu-satu kes,” katanya dalam program Unity Podcast ketika diminta mengulas siasatan terhadap Ahli Parlimen PN oleh SPRM.

Terdahulu, Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin mengesahkan beliau ditahan SPRM berhubung projek ternakan lembu kerajaan negeri. Namun, beliau mempersoalkan tindakan menukar statusnya daripada saksi kepada tertuduh.

Menurut Azman, beliau hadir ke pejabat SPRM Kedah pada 25 Mac lalu sebagai saksi bagi membantu siasatan projek fidlot di bawah Kedah Agro, tetapi menerima arahan mengejut untuk bertemu pegawai penyiasat di R&R Sungai Buloh arah utara sebelum dimaklumkan bahawa beliau akan didakwa di mahkamah.

Mahfuz menambah, sebarang salah laku melibatkan entiti kerajaan negeri perlu ditangani segera bagi mengelakkan persepsi campur tangan atau layanan berbeza dalam pelaksanaan undang-undang.

“Kita sangat kecewa jika benar wujud amalan yang bertentangan dengan integriti, khususnya di negeri Kedah. Saya difahamkan ia membabitkan isu ‘lembu fidlot’, tetapi saya sendiri tidak mengetahui secara terperinci projek SPRM yang dikaitkan dengan syarikat kerajaan negeri. Ini sesuatu yang sangat malang bagi negeri Kedah,” katanya.

Awal hari ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan berhubung tangkapan Azman dan menegaskan tiada campur tangan daripada gabungan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI