IPOH – Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, pada Isnin, atas dakwaan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, 31 Ogos lalu.
Hakim, Mohd Harith Mohd Mazlan membenarkan agar tertuduh, Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 41, menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Terdahulu wanita itu yang dalam keadaan bergari dibawa polis ke mahkamah dengan mengenakan baju T berlengan panjang dan berseluar hitam.
Ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa, tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya mengangguk tanda faham apabila ditanya sama ada beliau memahami pertuduhan berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Nurhaswani Afni didakwa melakukan kekerasan terhadap Sultan Perak di hadapan Bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, dalam daerah Kinta pada jam 8.20 pagi, 31 Ogoss 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan, atau dengan denda yang boleh sampai RM1,000, atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Nur Izzah Farzana Mohd Tafkir manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Saravanan.
Terdahulu, Nasrul Hadi meminta agar pertuduhan dibacakan tanpa pengakuan diambil memandangkan semasa proses penahanan siasatan dan pemeriksaan awal, tertuduh didapati mempunyai penyakit skizofrenia.
Selain itu, pihak pendakwaan juga memohon untuk membenarkan tertuduh menjalani pemeriksaan lanjut, lanjutan pemeriksaan dan pemantauan awal ke atas tertuduh di bawah Seksyen 11 dan 14 Akta Kesihatan Mental 2001.
Nasrul Hadi berkata, pemeriksaan lanjut itu bagi tujuan pengesahan penyakit skizofrenia serta samada tertuduh semasa kejadian mempunyai kewarasan dan boleh untuk membuat pengakuan bagi dibicarakan.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan selain menetapkan 8 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita nekad naik ke pentas utama dan dilihat cuba menyerang Sultan Nazrin semasa sambutan rasmi Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2025, di sini, pada 31 Ogos lalu.
Kejadian yang berlaku ketika Lagu Kebesaran Negeri Perak dimainkan itu didapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah serta rekod rawatan psikiatri. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerajaan Perak bertanggungjawab insiden wanita dekati Sultan Nazrin