Mahkamah Rayuan tolak rayuan kes rogol bekas ADUN Tronoh

PUTRAJAYA – Rayuan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong ditolak berhubung sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta sebatan dua kali yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah merogol pembantu rumahnya ditolak Mahkamah Rayuan.

Kesalahan itu dilakukan pada tahun 2019.

Hari ini, tiga panel hakim dalam keputusan 2-1 dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan Mahkamah Tinggi Ipoh tidak tersilap dalam menjatuhkan hukuman selepas perayu didapati bersalah merogol pembantu rumah berusia 23 tahun.

Hakim Datuk Azman Abdullah menolak rayuan Paul Yong bersama Hadhariah manakala Datuk SM Komathy menentang keputusan majoriti.

Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Paul Yong, 53, bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di dalam bilik rumahnya di Ipoh, Perak antara pukul 8.15 dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Ketika itu Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed dalam penghakimannya berkata, mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa pembelaan Paul Yong bahawa insiden rogol itu tidak berlaku, tidak boleh dipercayai dan hanya penafian selepas insiden.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan hukuman terhadap tertuduh ditangguhkan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan dan dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini memerintahkan supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan selepas membenarkan rayuan Paul Yong.

Sebanyak 23 saksi termasuk dua saksi terlindung dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan sebagai saksi pendakwaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI