IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) terus mengangkat dan memelihara adat Melayu melalui Pertandingan Barzanji dan Marhaban Peringkat Negeri.
MAIPk dalam satu kenyataan media memaklumkan pertandingan peringkat akhir dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu disertai lapan kumpulan.
“MAIPk komited mengangkat dan memelihara adat Melayu seperti barzanji dan Marhaban agar terus diwarisi bukan sahaja oleh golongan dewasa, tetapi juga generasi muda.
“Pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan bagi menggalakkan penyertaan masyarakat, khususnya belia, dalam warisan budaya ini,” katanya.
Tambahnya, pada peringkat akhir pertandingan seramai 16 orang belia daripada keseluruhan 67 peserta (24 peratus) telah mengambil bahagian.
“Penglibatan ini merupakan satu permulaan positif yang menunjukkan minat golongan muda terhadap seni Barzanji dan Marhaban,” katanya.
Barzanji dan Marhaban merupakan seni tradisi Islam yang popular di negeri Perak.
Ia lazim dipersembahkan dalam majlis keagamaan seperti Maulid Nabi, akikah, menyambut kelahiran bayi, berkhatan, cukur jambul, dan majlis perkahwinan.
Hadir sama pada majlis berkenaan Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini yang kemudiannya menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan berkenaan.
Kumpulan Soutul Ikhwan dari Taiping dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Barzanji dan Marhaban Peringkat Negeri Perak dan membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta piala.
Tempat kedua pula disandang Kumpulan Soutul Aula juga dari Taiping (RM3,000 dan piala) dan tempat ketiga diberikan kepada Kumpulan Al-Iskandariyyah dari Pengkalan Hulu (RM2,000 dan piala). -MG Perak


