MAIPk ke arah pembayaran zakat menerusi potongan gaji

IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam usaha untuk menyediakan mekanisme yang sesuai bagi melaksanakan pembayaran zakat pendapatan menerusi potongan gaji setiap bulan dalam kalangan individu Islam yang layak di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, bagaimanapun pihaknya akan mengkaji kaedah yang telah diguna pakai di negeri-negeri yang lain supaya pelaksanaan itu dapat diterima pakai di Perak.

Menurutnya, galakan membayar zakat secara potongan gaji itu akan dipanjangkan ke semua penjawat awam serta memanjangkan galakan tersebut kepada semua majikan swasta yang beroperasi di negeri ini.

“Dalam konteks di Perak, sebenarnya kita sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk melihat perkara ini supaya dapat dilaksanakan pada masa akan datang.

“Kita juga sedang mengangkat cadangan ini kepada kerajaan negeri untuk melihat dalam bentuk yang sesuai kita katakan menerusi kaedah-kaedah pelaksanaan itu nanti.

“Saluran itu sudah disediakan tetapi tidak menjadi satu kewajipan seperti kita potong cukai pendapatan di bawah LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri). Jadi perkara itu sedang diperhalusi supaya kita dapat melaksanakannya dengan cara yang  sistematik,“ jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan Kebajikan Siswa IPT 2024 di Dewan Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Rohizan Omar.

Dalam pada itu, Syamsul Hazeman berkata, fatwa tentang kewajipan bayar zakat ni sebenarnya sudah jelas dan semua orang Islam berkelayakan wajib membayar zakat tersebut.

“Bagaimanapun, setakat ini saluran itu tidak diwajibkan potongan gaji itu kepada MAIPk. Kita belum mengeluarkan  arahan itu dan masih melihat supaya aspek ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MAIPk sampaikan bantuan kebajikan siswa IPT RM360,000

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI