IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) melancarkan buku Laporan Eksekutif Impak Kelestarian Sosial sempena persidangan MAIPk kali ke-230 di sini, pada Jumaat.
Peluncuran itu disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad disaksikan Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, buku itu diterbitkan bagi menilai impak sosial yang diterima oleh asnaf di bawah program bantuan zakat yang dilaksanakan MAIPk sepanjang tahun 2023.
Menurutnya, laporan berkenaan memfokuskan tiga perkara iaitu mengenal pasti jenis program dan skim agihan zakat yang diterima oleh asnaf berdasarkan pengukuran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Selain itu, laporan tersebut turut menganalisa impak kelestarian sosial mustahik (penerima zakat) melalui MAIPk dengan padanan SDG dan Maqasid Al-Syariah yang merumuskan impak dan kelangsungan mencapai kemaslahatan penerima zakat dari sudut kesejahteraan hidup meliputi makanan, perlindungan, pendidikan, kesihatan serta ibadah,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu sebagai langkah penting ke arah menggalakkan tata kelola yang baik dalam pengurusan agihan zakat.
“Justeru, MAIPk akan terus komited dengan peningkatan prestasi kutipan dan agihan zakat di Perak serta sentiasa memastikan penyesuaian perubahan dinamik supaya terus relevan sebagai institusi pembangunan sosioekonomi ummah sepanjang zaman,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: