IPOH – Sebanyak RM520,500 disalurkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi membantu 438 pelajar asnaf cemerlang di sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, ia bagi memastikan setiap pelajar mendapat akses kepada alat pembelajaran yang moden dan berkualiti.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut sebanyak RM137,500 diperuntukkan kepada 55 orang pelajar asnaf tajaan MAIPk yang cemerlang di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
“MAIPk telah memberi bantuan berupa komputer riba kepada 55 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang SPM 2023 dengan pencapaian 8A ke atas.
“Kita juga turut menyerahkan bantuan Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal kepada 383 orang pelajar asnaf tajaan baharu tahun 2024 melalui dana zakat berjumlah RM383,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah dan Motivasi Kecemerlangan Pelajar Tajaan MAIPk Di Bawah Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal di Hotel Impiana, di sini, pada Sabtu.
Ditanya mengenai kriteria penerima bantuan Syamsul Hazeman berkata, kebanyakkan keluarga mereka merupakan penerima bantuan lain daripada MAIPk.
Ujar beliau, berdasarkan rekod maklumat pelajar-pelajar asnaf ini dipertimbangkan untuk menerima bantuan berupa biasiswa.
“Ada juga yang kita beri bantuan seperti biasiswa seawal darjah satu sehingga SPM dan kalau mereka berjaya ke peringkat tertinggi kita akan sampaikan juga.
“Jumlah biasiswa yang ditaja MAIPk bergantung kepada bidang pengajian masing-masing ada yang mencecah RM18,000 hingga RM25,000 bergantung kepada IPT,” katanya.
Tambah beliau, MAIPk amat berharap agar bantuan yang disampaikan mampu menyuntik semangat dan mencetus kejayaan lebih cemerlang kepada pelajar asnaf pada masa akan datang. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: MAIPk Sampaikan Bantuan Kebajikan Siswa IPT RM360,000