Majoriti kanak-kanak GISBH di Perak sudah dituntut keluarga, waris

IPOH – Majoriti kanak-kanak Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di Perak sudah dituntut oleh ibu bapa dan waris masing-masing.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, jumlah itu melibatkan sebahagian daripada 55 kanak-kanak yang sebelum ini ditempatkan di rumah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Apa juga tindakan yang kita lakukan semuanya mengikut apa yang telah pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) lakukan seperti siasatan dan sebagainya.

“Jadi, proses-proses itu masih berlaku. Ada (kes) yang telah ditutup dan ada (kes) yang masih belum ditutup, itu sahaja.

“Bagaimanapun, kebanyakannya (kanak-kanak) sudah dituntut keluarga dan di Perak hanya ada 55 kanak-kanak sahaja yang terlibat dan tiada jumlah tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Program Sejahtera Warga Emas Peringkat Negeri Perak 2024 di Galasa Caldwell, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin dan Pengarah Seketariat Pembangunan Wanita Perak, Jamilah Zakaria.

Salbiah berkata peranan JKM secara spesifiknya adalah melindungi kanak-kanak terbabit sepanjang siasatan dilakukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Majoriti kanak-kanak GISBH di Perak sudah dituntut keluarga, waris
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed ketika sidang media Program Sejahtera Warga Emas Negeri Perak Tahun 2024 di Galasa Caldwell, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 17 DISEMBER 2024.

Ahad lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, seramai 136 kanak-kanak GISBH yang masih belum dituntut keluarga, kini ditempatkan di sembilan institusi JKM seluruh negara.

Menurutnya, kanak-kanak yang masih di institusi JKM sudah dikenal pasti identiti dan dalam proses menunggu perintah interim untuk serahan keluarga mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 atau Orang Layak Dan Sesuai (OYLS) mengikut Seksyen 30(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.

Susulan itu, beliau menggesa ibu bapa kanak-kanak terbabit untuk tampil menuntut anak mereka kecuali jika keadaan betul-betul terdesak.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Salbiah memaklumkan bayi lelaki ditemui di dalam semak di belakang sebuah surau di Kampung Permatang, Sitiawan, pada Sabtu lalu masih mendapatkan rawatan di Hospital Seri Manjung.

“Bila (bayi) dah stabil dan sihat kita akan dapatkan perintah mahkamah untuk tempatkan di bawah rumah perlindungan JKM,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang bayi lelaki yang dilahirkan cukup sifat dibalut dengan kain itu ditemui salah seorang ahli jawatan kuasa (AJK) surau terbabit. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

GISBH: Ibu bapa boleh hubungi polis untuk tahu keberadaan anak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI