IPOH – Majuperak Holdings Berhad (MHB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Shizen International Inc (Shizen International) bagi meneroka projek pembangunan projek solar di Perak.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Syed Agil Syed Hashim berkata, dua matlamat MoU itu adalah bagi mengkaji pelaksanaan pembangunan projek fotovoltan solar yang dibina atas darat dan menilai potensi kawasan air bersesuaian untuk projek fotovoltan terapung di negeri ini.
Menurutnya, kerjasama dengan Shizen membuka peluang besar bagi Perak berdasarkan kepakaran dan rekod pencapaiannya.
“Kerjasama ini menjanjikan kemajuan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan membawa manfaat kepada penduduk tempatan, termasuk peluang pekerjaan, perkongsian teknologi dan kemakmuran ekonomi.
“Menerusi kerjasama dengan Shizen Energy Japan, pemimpin terkemuka dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, kami sedia memanfaatkan kepakaran dan sumber bersama kami untuk menggiatkan penggunaan teknologi tenaga bersih di rantau ini,” katanya.
Shizen International yang merupakan anak syarikat Shizen Energy Inc, terlibat aktif dalam pembangunan serta pengendalian kemudahan tenaga boleh diperbaharui di seluruh Asia, Oceania dan Amerika Latin.
Penglibatan itu merangkumi loji jana kuasa angin dan solar dan sehingga kini Shizen Energy Group berjaya membangunkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 1,321.7 megawatt di Jepun dan peringkat antarabangsa.
MoU tersebut telah ditandatangani oleh Syed Agil dan Ketua Pegawai Eksekutif Shizen International, Rei Ushikubo dalam satu majlis yang disaksikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Fukuoka, Jepun.
Turut menyaksikan tandatangan MoU itu ialah Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) yang juga Pengerusi Eksekutif MHB, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak serta Pegawai Eksekutif Kumpulan Shizen Energy bertanggungjawab untuk Pelaburan & Strategi, Oliver Senter.
Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pelabur dari dalam dan luar negara yang berminat untuk menyokong aspirasi Perak untuk menjadikan negeri ini satu destinasi pelaburan yang terkenal di Asia secara khususnya dan di persada dunia secara umum.
“Usaha ini sejajar dengan dasar mesra pelabur kerajaan negeri dan wawasan kami untuk mempelopori teknologi hijau dan inovasi di bawah rancangan pembangunan Perak Sejahtera 2030.
“Peralihan kepada amalan lestari memerlukan tindakan bersama. Kerjasama ini sejajar dengan kesungguhan Perak untuk membangunkan teknologi hijau dan usaha untuk menarik pelaburan menerusi Program Flagship 12: Sumber Air dan Sumber Tenaga Boleh Baharu,”ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ladang solar RM250 juta rancakkan pembangunan teknologi hijau di Kerian