‘Mak cik tak pernah ‘miss’ jualan Kedai Bergerak Negeri Perak’

IPOH – Walau hujan renyai, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan keperluan harian yang dijual pada kadar diskaun sehingga 50 peratus di kiosk Kedai Bergerak Negeri Perak.

Jualan istimewa itu diadakan bersempena dengan Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Stadium Indera Mulia, dekat sini, pada Khamis.

Rata-rata mereka yang tinggal di sekitar Ipoh mula beratur seawal jam 9 pagi bagi mendapatkan pelbagai barangan seperti telur, ayam segar dan daging segar tempatan yang dijual pada harga yang lebih rendah di pasaran.

Orang ramai beratur untuk membeli barangan keperluan harian terutama ayam segar, daging dan telur ayam pada program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 12 OKTOBER 2023

Menurut Maria Ghazali, 59, program jualan seumpama itu amat dinantikan terutama apabila ia dianjurkan di sekitar kawasan bandar raya itu.

Malah suri rumah yang menetap di Bercham itu berkata walaupun cuaca hujan, dia tetap sanggup beratur lebih dari sejam semata-mata untuk mendapatkan barang keperluan yang dijual pada harga berpatutan.

Orang ramai beratur untuk membeli barangan keperluan harian seperti telur ayam pada program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 12 OKTOBER 2023

“Saya hari ini datang untuk mendapatkan telur dan ayam segar yang mana ia dijual pada harga sangat berpatutan. Jika dibandingkan di pasaran harga ayam segar boleh mencecah belasan ringgit, namun di sini ia dijual pada harga RM6.

“Program jualan seperti Kedai Bergerak ini memang saya amat nanti-nantikan. Malah saya tidak pernah ‘miss’ (ketinggalan) untuk datang bagi mendapatkan barang-barang keperluan harian ini,” katanya ketika ditemui MG Perak.

Suri rumah, Nor Azilah Abu Hussein , 50, pada program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 12 OKTOBER 2023

Sementara itu, suri rumah, Nor Azilah Abu Hussein, 50, berkata inisiatif kerajaan dengan mengadakan jualan menerusi Kedai Bergerak Negeri Perak amat baik tatkala rakyat berdepan dengan ketidaktentuan harga barang di pasaran.

“Hari ini saya datang membeli barang-barang seperti telur, gula, minyak dan susu tin. Kalau di pasaran luar, saya harus membayar sekitar RM50, sedangkan di sini saya hanya membayar RM19. Usaha seperti ini memang berbaloi untuk rakyat,” ujarnya.

Pesara kerajaan, Jamal Abdul Hamid, 68, pada program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 12 OKTOBER 2023

Perkara sama turut dikongsi pesara kerajaan, Jamal Abdul Hamid, 68, yang turut mengesyorkan agar kerajaan negeri dapat mengadakan program jualan seumpama itu dengan lebih kerap terutama di kawasan pinggir bandar.

“Program baik ini memang kita sokong, malah saya harap kerajaan dapat memperbanyakkan lagi usaha sedemikian bagi membantu meringankan beban rakyat terutama dalam kalangan B40.

“Cuma, saya berharap ia dapat diadakan dalam tempoh seminggu selepas orang ramai mula bergaji, iaitu sama ada awal atau hujung bulan,” katanya lagi.

Orang ramai membeli barangan keperluan harian seperti daging pada program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 12 OKTOBER 2023

Menerusi Kedai Bergerak Negeri Perak, ayam segar dijual pada harga RM6 seekor, telur RM7 dan daging segar tempatan pada RM23, selain barang-barang keperluan lain seperti minyak masak, tepung gandum, gula dan beras pada harga lebih rendah.

Ia beroperasi di beberapa lokasi dan hari terpilih dalam seminggu di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI