MELAMBANGKAN identiti budaya Melayu Perak, tekat benang emas merupakan seni sulaman tradisional yang khusus dalam adat istiadat diraja serta perkahwinan di negeri ini.
Seni kraf halus ini melibatkan sulaman menggunakan benang emas pada kain baldu bagi menghasilkan corak istimewa sarat dengan nilai estetika serta kelihatan mewah.
Bermotifkan flora tekat benang emas bukan sahaja mencerminkan identiti dan sejarah masyarakat Melayu Perak tetapi juga setiap motif yang dihasilkan mempunyai makna tersendiri dan diwarisi sejak berzaman.
Kehalusan seni yang menggunakan sulaman tangan ini masih diusahakan oleh beberapa individu seperti Azizah Adam yang kini menetap di Kampung Padang Changkat Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Dilahirkan pada 20 November 1960 di Taiping, Azizah atau lebih mesra di sapa Mak Zah mula menceburi tekatan benang emas sejak berusia 19 tahun sehingga kini.
Lebih bermakna usahanya dalam memartabatkan seni halus warisan Melayu Perak ini mendapat pengiktirafan apabila menerima pengiktirafan daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) sebagai Adiguru Kraf Tekatan Benang Emas pada tahun 2023.
Bercakap kepada Malaysia Gazette (MG) Perak, Mak Zah berkata, beliau mempelajari tekatan benang emas selepas keluarganya berpindah ke Kampung Padang Changkat pada tahun 1979.
Mak Zah berkata, individu yang mengajarnya juga merupakan Tokoh Kraf Negara 2018 serta Adiguru Kraf Tekatan Benang Emas 1995 dan 2006, Azizah Mohd Yusof.
“Bila saya berpindah ke Kampung Padang Changkat saya mengetahui bahawa ada seorang guru mengajar tekatan benang emas jadi saya mengambil keputusan untuk mempelajarinya bagi memenuhi masa lapang.

“Siapa sangka suka bermula dari hobi ataupun suka-suka kini sudah 48 tahun saya terlibat dalam bidang tekatan benang emas malah menjadi sumber pendapatan keluarga kami,” katanya ketika ditemui di bengkel miliknya di Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar.
Menurut Mak Zah, tekatan benang emas dipercayai berasal dari negara Arab sebelum di bawa masuk ke Aceh, Indonesia dan dipopularkan di Tanah Melayu oleh Raja Perempuan Kelsom yang dikatakan turut menghasilkan tekat sendiri.
Katanya, pada masa lalu, seni tekat hanya dihasilkan oleh golongan bangsawan, namun kini ia telah dikomersialkan dan dapat dinikmati oleh masyarakat umum tanpa menghilangkan nilai tradisionalnya.
Guna kain baldu dan benang emas diimport
Bercerita lebih lanjut mengenai tekat benang emas, Mak Zah berkata, keunikan tekat benang emas tradisional adalah menggunakan kain baldu dan benang emas yang diimport.
Katanya, selain itu beberapa perlatan lain turut diperlukan untuk menghasilkan tekatan benang emas seperti mempulor dan pemidang.

“Pada masa dahulu kita tidak panggil tekatan benang emas, ia dikenali sebagai tekat timbul sebab ada mempulur yang menjadikan rekaan bercorak flora itu timbul.
“Untuk benang emas atau perak kita import dari Jerman manakala kain baldu pula dari Korea atau China,” katanya.
Ditanya mengenai corak tekat benang emas Mak Zah berkata, setiap tekat yang dihasilkan menggunakan motif flora seperti bunga dan tumbuhan yang berkait rapat dengan masyarakat melayu seperti padi dan pucuk paku.
Katanya, setiap penekat mempunyai corak masing-masing yang diubah suai namun masih mengekalkan tradisionalnya bagi menarik minat pelanggan.
“Motif yang popular dan paling disukai adalah bunga kekwa, kerawang pucuk paku, bunga padi dan bunga raya. Namun ada juga bunga-bunga lain yang direka oleh penekat lain.
“Untuk saya sendiri bunga kekwa merupakan permintaan paling popular selain bunga raya yang kami ubah suai mengikut kesesuaian pelanggan,” katanya.
Hasilkan tekat benang emas untuk Sultan Perak, Agong
Menurut Mak Zah, tekat benang emas pada masa dahulu amat popular semasa majlis perkahwinan sebelum ia mula berkurangan dan kini tempahan yang diterima kebanyakkannya adalah dari istana selain jabatan dan agensi kerajaan.

Mak Zah berkata, beliau pernah menghasilkan tekat benang emas buat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Untuk Tuanku Sultan Nazrin saya pernah hasilkan tekat benang emas bagi istiadat pertabalan serta hari keputeraan baginda seperti tikar langkat lima tingkat.
“Saya juga pernah menghasilkan alas dulang untuk meletakkan alat kebesaran di raja semasa pertabalan Yang Dipertuan Agong,” katanya.
Katanya, dia juga menghasilkan produk tekat benang emas seperti sejadah, beg tangan, beg dompet, telekung dan lain-lain cenderahati mengikut kemahuan pelanggan melibatkan orang kenamaan serta agensi dan jabatan kerajaan.
Nor Faizatul sambung legasi Mak Zah, martabat tekat benang emas
Sementara itu, bagi Nor Faizatul Fazliha Mohd Rasdi, 42, membesar sebagai anak seorang penekat menyedarkannya untuk mewarisi apa yang diusahakan ibunya supaya warisan keluarga dan masyarakat Perak ini terus terpelihara.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja di sektor kerajaan bagi membantu ibunya mengusahakan tekat benang emas di bengkel yang dibina arwah bapanya.
“Masa kecil saya suka tengok emak menekat jadi bila dia tinggal sekejap kita akan curi-curi jahit. Sampailah bila saya belajar dan ada cuti semester saya ambul keputusan ikut kelas anjuran Kraftangan selama tiga bulan.
“Selepas tamat pengajian saya bekerja sebagai kakitangan kerajaan dan sambil itu saya melakukan kerja sambilan menekat. Selepas empat tahun saya ambil keputusan berhenti kerja sebab mahukan teruskan menekat sepenuh masa,” katanya.
Untuk memastikan tekat benang emas milik emaknya kekal, Nor Faizatul melakukan beberapa penambahbaikkan dari segi corak yang dihasilkan serta mempelbagaikan produk mengikut kemahuan pelanggan.

“Tekat ini kami jarang buat ‘ready stok’ memandangkan setiap pelanggan mempunyai citarasa tersendiri apabila melibatkan corak yang kami hasilkan.
“Jadi bila kami buat begini pelanggan boleh pilih mahu corak yang mana, warna apa serta sama ada mahu beg tangan atau lain-lain produk,” katanya.
Nor Faizatul turut berkongsi perasaannya bergelar sebagai seorang anak Adiguru Kraf Tekatan Benang Emas bererti menggalas tanggungjawab yang besar memandangkan beliau merupakan penyambung warisan.
“Katakan kalau lepas ini emak berhenti maka sayalah yang akan teruskan kerana saya tidak mahu apa yang diusahakan emak hilang begitu sahaja.
“Saya juga menjadi tenaga pengajar untuk memastikan generasi muda sekarang dan akan datang tahu mengenai tekat benang emas dan tidak meminggirkannya,” katanya. -MG Perak


