Makmal analisis NR-REE, Terra Mineral Lab mula operasi September – Saarani

IPOH – Makmal menganalisis kandungan unsur mineral termasuk nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. dijangka memulakan operasi pada September ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, makmal yang dibangunkan di kawasan perindustrian di Gopeng itu bakal menempatkan 15 tenaga kerja baharu.

Beliau berkata, semua tenaga kerja di Terra Mineral Lab memperoleh latihan dalam bidang berkaitan di dalam dan luar negara.

“Pekerja baharu yang diambil bekerja terdiri daripada dua orang ahli kimia kanan yang diperoleh daripada universiti tempatan, dan 13 graduan yang merupakan pembantu ahli kimia serta kakitangan sokongan.

“Pada masa akan datang, bilangan pekerja akan bertambah berdasarkan jangkaan bilangan analisis yang perlu dilakukan dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan M. Thulsi Thivani (PH-Buntong) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.

Ketika menjawab soalan lisan, Saarani memberitahu pembangunan Terra Mineral Lab adalah sebahagian daripada langkah proaktif dan strategik kerajaan negeri memposisikan Perak sebagai pemimpin dalam industri NR-REE.

Saarani (BN-Kota Tampan) berkata, penubuhan makmal berkenaan mampu memberi nilai tambah kepada industri perlombongan NR-REE serta mineral-mineral lain.

Ujar beliau, makmal berkenaan akan berfungsi untuk menganalisis, mengenal pasti jenis dan menentusahkan kepekatan elemen yang terkandung dalam sesuatu mineral.

“Selain itu, Terra Mineral Lab juga dibangunkan sebagai untuk menentukan kandungan sesuatu elemen dengan cepat dan membangunkan pangkalan data untuk membantu kerajaan negeri dalam perancangan masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Razman Zakaria (PN-Gunong Semanggol) melalui soalan tambahan meminta Saarani menyatakan pendirian kerajaan negeri dalam mempertahankan NR-REE sebagai hak negeri.

Ketua Pembangkang DUN itu berkata, perkara itu diutarakan supaya ia tidak menerima nasib seperti di negeri lain seperti melalui penggubalan Akta Petroleum (langkah-langkah keselamatan) 1984.

Saarani memaklumkan, kerajaan negeri bertegas akan mempertahankan NR-REE itu agar ia menjadi hak kepada Negeri Perak termasuk dalam soal kerja-kerja mengekstrak mineral itu.

“Walau bagaimanapun kerajaan pusat akan menjadi fasilitator, ataupun penyelaras kepada aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengannya. Dan kita bermati-matian pertahankan supaya tidak di-‘Petronas’-kan NR-REE,” jelas beliau. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak mohon NRES tetapkan kaedah lombong NR-REE

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI