SUNGAI SIPUT – Sebuah makmal komputer di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong, dekat sini mengalami kebakaran, pada Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, walaupun ia berlaku pada waktu sekolah harian, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Katanya, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 12.09 tengah hari sebelum 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput dan dibantu BBP Kuala Kangsar diatur gerak ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi mendapati makmal komputer yang berada di tingkat empat sekolah berkenaan musnah terbakar 50 peratus.
“Anggota bomba mengaplikasikan konsep RECEO (menyelamat, pendedahan, penyekatan, pemadaman dan pemeriksaan).
“Kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran 400 kaki dan dua pancutan air dari jentera dan pili dilakukan sehingga api berjaya dipadam,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Azhar bin Zam Hashari itu tamat pada jam 3.25 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan: