Malaysia Airlines diarah bayar pampasan kepada waris mangsa MH370

BEIJING – Sebuah mahkamah di Beijing pada Isnin memaklumkan bahawa Malaysia Airlines telah diarahkan untuk membayar pampasan kepada keluarga lapan penumpang penerbangan MH370, lebih sedekad selepas pesawat itu hilang.

Mahkamah Rakyat Daerah Chaoyang berkata dalam satu kenyataan berkata, pampasan yang diputuskan pada Jumaat itu meliputi kos pengebumian, tekanan emosi, dan kerugian lain, dengan setiap keluarga menerima lebih 2.9 juta yuan (kira-kira RM1.69 juta).

Tambahnya, 47 lagi saman telah ditarik balik selepas keluarga terlibat mencapai penyelesaian di luar mahkamah dengan Malaysia Airlines dan cabang antarabangsa syarikat itu, Malaysia Airlines International.

Mahkamah berkata Pesawat Boeing 777 yang membawa 239 orang itu hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Walaupun operasi pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan telah dijalankan, pesawat itu masih belum ditemui.

Dua pertiga daripada penumpang adalah warga China, manakala selebihnya termasuk rakyat Malaysia, Indonesia dan Australia, serta warga India, Amerika Syarikat, Belanda dan Perancis.

Daripada 78 kes asal yang dibawa oleh keluarga mangsa selepas insiden itu, mahkamah di Beijing berkata 23 masih belum diselesaikan.

Keluarga penumpang terbabit “sama ada belum memohon pengisytiharan kematian atau belum melengkapkan proses pengisytiharan tersebut”, menurut mahkamah.

Lapan penumpang yang keluarga mereka diberikan pampasan oleh mahkamah telah diisytiharkan meninggal dunia secara sah.

Pengumuman mahkamah itu dibuat beberapa hari selepas pihak berkuasa Malaysia mengumumkan bahawa pencarian pesawat itu akan disambung semula pada akhir Disember, satu keputusan yang dialu-alukan oleh kementerian luar China dan ahli keluarga mangsa. -AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI