KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani akan terbabit secara langsung dalam misi Global Sumud Flotilla 2.0 yang bakal melibatkan penyertaan lebih 80 negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, misi Global Sumud Flotilla 2.0 sebagai kesinambungan perjuangan moral antarabangsa yang menuntut keberanian untuk menegakkan keadilan dan hak kemanusiaan tanpa mengira batas sempadan, bangsa atau agama.
“Insya-Allah, kita akan menggerakkan segala kudrat untuk membantu dan memperjuangkan hak rakyat Palestin. Keadilan ini tidak boleh lagi ditangguhkan demi sebuah Palestin yang bermaruah dan merdeka,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau memaklumkan menerima kunjungan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby yang juga Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM, bersama Nadir Al-Nuri, Pengasas Sumud Nusantara di Perdana Putra petang tadi.
Menurut Anwar, beliau dimaklumkan mengenai situasi kemanusiaan di Gaza yang semakin meruncing, sekatan bantuan yang berpanjangan, ketidaktentuan konflik, serta penderitaan rakyat Palestin yang terus dihimpit kekejaman.
Dalam perjumpaan tersebut, Sani dan Nadir juga berkongsi keberhasilan Misi Sumud Nusantara yang berjaya memecahkan kebisuan dunia dan mengangkat suara Gaza ke pentas antarabangsa. – MalaysiaGazette


