Malaysia kukuh hubungan ekonomi semua negara, termasuk China

IPOH – Malaysia terus kekal dengan pendirian sebagai sebuah negara berkecuali di samping memperkukuhkan hubungan ekonomi dengan semua negara termasuk Eropah dan China.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia penting sebagai usaha memperkasakan ekonomi negara yang akhirnya pembangunannya akan dirasai seluruh anggota masyarakat dan negeri.

“Sebab kita perlukan kawan sekarang, dan kita tak boleh bergantung (kepada satu-satu negara sahaja) kerana dahulu kita boleh kita memihak sebelah sana sebelah sini.

“Sekarang kita teruskan (usaha) minta pelaburan daripada Amerika Syarikat. Kita baiki hubungan kita dengan Kesatuan Eropah (EU). Kita baiki dengan BRICS(Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan), dan kita rapat dengan China,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di Hotel Weil, dekat sini pada Jumaat.

Antara hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Presiden PCCCI, Datuk Liew Chee Ming.

Mengulas lanjut Anwar berkata, kekuatan negara China sebagai salah satu kuasa bear dalam ekonomi dunia harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Malaysia.

Malah ujar beliau, selain ekonomi, China juga menjadi salah satu pemain penting dalam dunia teknologi kecerdasan buatan (AI) apabila berjaya mengejutkan negara barat melalui ciptaan model AI baharu iaitu Qwen 2.5, dan DeepSeek-V3.

“Ada orang membangkitkan di kampung-kampung kononnya kita serah semua (perkara) kepada negara China. Ini pun pemikiran-pemikiran yang rosak.

“Kalau kita banyak duduk (bersama) dengan Amerika Syarikat, dengan Eropah tidak mengapa pula, Ini mentaliti terjajah.

“Bagi kita siapa pun, termasuk negara China yang datang melabur, kita berikan galakan. (Mana-mana negara) yanh baik dengan kita, kita lebih baik dengan mereka, dan Ini dasar kita,” tambahnya.

Pada masa sama Perdana Menteri memberitahu, Malaysia akan terus menerima kunjungan pemimpin-pemimpin dunia pada Februari depan.

Kata beliau, antara yang mengadakan kunjungan adalah bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra,  juga selaku penasihat peribadi Anwar yang mengetuai ASEAN; Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev serta Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Fokus pembangunan negara bukan tumpu isu perkauman – Anwar

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI