Malaysia layak terima duta AS lebih baik berbanding Nick Adams – DAP

KUALA LUMPUR – DAP berpendirian bahawa Malaysia berhak untuk menerima Duta Besar Amerika Syarikat (AS) baharu yang lebih baik berbanding Nick Adams.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Kasthuri Patto berkata, ia sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, serta status AS sebagai rakan strategik komprehensif kepada negara.

Sehubungan itu, beliau yang juga Setiausaha Hubungan Antarabangsa DAP menggesa Presiden AS, Donald Trump menghormati pandangan serta pendirian rakyat Malaysia yang dengan kuat menolak pelantikan Adams.

Menjelaskan lebih lanjut, tambahnya, Adams sebelum ini mencetuskan kontroversi khususnya di laman sosial media dalam beberapa perkara termasuk meremehkan golongan wanita serta pandangan ekstrem dan konservatif ke arah Islamophobia.

Sedangkan, ujarnya, seorang duta seharusnya berperanan untuk membentuk dasar luar, memudahkan komunikasi, menghadiri mesyuarat dan program budaya, serta diberi maklumat terkini berhubung perkembangan di negara mereka bertugas serta di negara sendiri.

“Berapa banyak daripada kriteria ini yang dipenuhi oleh Nick Adams? “Apakah pandangannya tentang dasar luar dan diplomasi?

“Apakah pendapatnya tentang multilateralism, hak asasi manusia, isu gender dan migran?

“Apakah pendiriannya tentang jenayah terhadap manusia, agama dan perpaduan sosial?” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Trump menerusi hantaran di platform Truth Social miliknya mengumumkan pencalonan Adams iaitu seorang pengulas politik konservatif kelahiran Australia yang kini merupakan warganegara AS sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia.

Bagaimanapun, ia mendapat bantahan banyak pihak di negara ini yang menggesa Malaysia menolak pencalonan Adams disebabkan pandangan kontroversi beliau dalam beberapa perkara yang tidak selari dengan pendirian negara.

Sementara itu, Kasthuri mempersoalkan sama ada Adams benar-benar berkelayakan untuk menjadi jambatan antara Malaysia dan AS khususnya dalam situasi perang perdagangan, hak asasi manusia serta keamanan serta kestabilan global yang tidak menentu ketika ini.

Ini kerana, kata beliau, Adams yang merupakan penyokong tegar Trump hanya menjadi warga AS kira-kira empat tahun lalu.

“Adakah Nick Adams akan menjalankan tugasnya dengan berani, tanpa takut atau pilih kasih sebagai Duta Amerika yang mewakili masyarakat berbilang budaya, berbilang kaum, dan beragama di AS?” katanya.

Tambah beliau, Malaysia dan AS telah mendapat pelbagai manfaat hasil hubungan baik selama ini sama ada dari sudut perdagangan; pertukaran budaya; pendidikan; penjagaan kesihatan; kecerdasan buatan; hak asasi manusia dan sebagainya.

Sehubungan itu, katanya, hubungan baik tersebut harus dipelihara bagi memastikan lebih banyak kerjasama dan dialog ke arah kebaikan kedua-dua negara dapat dicapai pada masa depan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI