KUALA LUMPUR – Malaysia sentiasa konsisten dalam usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin sejak Oktober 2023.
Kerajaan telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM74 juta kepada rakyat negara itu dalam tempoh tersebut.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP), sumbangan itu merangkumi pelbagai bentuk bantuan termasuk makanan, ubat-ubatan, bekalan asas dan sokongan perubatan kecemasan.
“Komitmen ini diteruskan dengan pengumuman oleh Perdana Menteri pada 24 Ogos 2025 semasa malam kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025 iaitu bantuan tambahan sebanyak RM100 juta bagi tujuan bantuan kemanusiaan dan pembangunan semula Gaza.
“Sehubungan itu, kerajaan menyeru seluruh rakyat Malaysia termasuk badan-badan bukan Kerajaan (NGO), agensi-agensi kerajaan serta syarikat-syarikat swasta untuk terus memberikan sumbangan melalui AAKRP sebagai tanda keprihatinan dan solidariti berterusan terhadap perjuangan rakyat Palestin,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan melalui laman sesawang Parlimen, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai tindakan tegas Malaysia pasca Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Qatar serta bantuan kemanusiaan digerakkan bagi membantu rakyat Palestin.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Malaysia berpendirian bahawa usaha secara kolektif perlu dilaksanakan bersama negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan pertubuhan antarabangsa lain bagi memastikan tindakan haram Israel mendapat hukuman yang tegas dan berkesan.
Tegas beliau, kerajaan juga terus menyokong usaha untuk membawa Israel ke muka pengadilan kepada badan kehakiman antarabangsa.
“Perdana Menteri bersama pemimpin OIC sebulat suara mengecam tindakan ketenteraan serta kekejaman berterusan Israel, selain menuntut mereka dipertanggungjawabkan pada peringkat antarabangsa, ketika Sidang Tergempar Negara Islam dan Liga Arab di Doha, Qatar, 15 September lalu.
“Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan tindakan Israel yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta prinsip kemanusiaan sejagat, tidak boleh dibiarkan.
“Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa mempertimbangkan langkah punitif, termasuk melalui pendekatan diplomatik dan sekatan ekonomi, sebagai tekanan ke atas Israel supaya menghentikan tindakan itu yang terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette


