KUALA LUMPUR – Malaysia mengalu-alukan resolusi yang diluluskan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 12 Disember 2025.
Resolusi berkenaan memperakukan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bertarikh 22 Oktober 2025, mengenai Obligasi Israel terhadap PBB, organisasi antarabangsa lain dan negara-negara kKetiga di wilayah Palestin yang diduduki.
Lantaran itu, Malaysia menuntut Israel mematuhi semua obligasinya di bawah undang-undang tersebut.
Ia termasuk memastikan saluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin tanpa sekatan terutamanya oleh Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), organisasi antarabangsa dan Negara Anggota PBB; melindungi hak mutlak rakyat Palestin; dan menghormati keistimewaan dan kekebalan PBB, kata Kementerian Luar Negeri.
Resolusi tersebut telah menerima sokongan padu daripada negara anggota PBB dengan meraih 139 undi.
Resolusi yang diterajui oleh negara-negara sepemikiran, termasuk Malaysia ini, menegakkan undang-undang antarabangsa dan menzahirkan komitmen kolektif masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan sepenuhnya dan dengan segera dapatan ICJ dalam Pendapat Nasihat tersebut.
Tambahnya, Malaysia akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi memastikan penyelesaian yang adil, komprehensif dan berkekalan untuk Palestin, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi PBB yang berkaitan. – MalaysiaGazette


