MALBATT akan berundur dari Lubnan menjelang 2027 – Khaled

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) dijangka berundur dari misi keamanan di Lubnan menjelang 2027.

Menurut beliau, ia selaras dengan keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi mandat kepada Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) untuk tempoh setahun.

“Majlis Keselamatan (PBB) telah pun bermesyuarat minggu terakhir Ogos lepas. Mereka telah menyambung mandat UNIFIL setahun lagi di Lubnan dan ia akan berakhir pada 2026.

“Itu bermakna kita akan hantar satu pasukan (MALBATT) untuk tahun depan dan selepas itu kita tidak akan lagi ada UNIFIL di Lubnan.

“Kita akan lihat pada proses penempatan untuk mereka balik,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu Mohamed Khaled membuat lawatan kerja ke Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Pada 28 Ogos lalu, media melaporkan Majlis Keselamatan PBB pada Khamis meluluskan Resolusi 2790 yang melanjutkan mandat UNIFIL sehingga 31 Disember 2026.

Ia dilakukan sebelum proses pengunduran dan penarikan keluar sepenuhnya dalam tempoh setahun selepas tarikh tersebut.

Resolusi berkenaan turut menetapkan pembubaran UNIFIL selepas fasa pengunduran dengan mengekalkan pasukan pengawal terhad bagi melindungi kakitangan, fasiliti dan aset, bersama kerjasama rapat dengan angkatan tentera serta pasukan keselamatan Lubnan.

Majlis Keselamatan menyeru kerajaan Lubnan menghormati sepenuhnya Perjanjian Status Pasukan 1995, termasuk kebebasan pergerakan, hak keistimewaan serta keselamatan kakitangan dan aset UNIFIL. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI