Mangsa banjir dan PPS di Perak kembali bertambah

IPOH – Jumlah mangsa banjir dan pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak kembali bertambah kepada 1,226 orang daripada 387 keluarga di 11 PPS setakat jam 8 malam pada Rabu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan berkata, jumlah mangsa banjir dijangka meningkat selepas dua PPS di daerah Perak Tengah dibuka petang tadi.

Menurut JPBN Perak proses pemindahan mangsa banjir ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Sagor di Kampung Gajah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muzafar Shah 1 di Lambor Kanan sedang dijalankan.

“Buat masa ini seramai 911 mangsa ditempatkan di tiga PPS di daerah Kuala Kangsar, diikuti 166 orang di dua PPS di Hilir Perak, 75 mangsa di dua PPS di Kerian dan 41 mangsa di sebuah PPS di Kampar.

“Bagi daerah Perak Tengah 33 mangsa ditempatkan di sebuah PPS Teluk Kepayang manakala jumlah mangsa di dua lagi PPS yang baharu dibuka belum diterima kerana proses kemasukan sedang dijalankan,” katanya.

Penduduk, Ariffin Mat, 63 kelihatan sugul melihat kediamannya ditenggelami air berikutan banjir yang melanda di Kampung Masjid Pulau Tiga Kiri, Kampung Gajah. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 OKTOBER 2024.

Tambahnya PPS SK Dato’ Sagor dibuka pada jam 5.30 petang manakala SMK Sultan Muzafar Shah 1 dibuka pada jam 6.30 petang tadi.

Sementara itu, dalam kenyataan sama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan hanya satu kawasan merekodkan bacaan air melepasi paras bahaya iaitu Sungai Bidor di Changkat Jong, Hilir Perak setinggi 3.62 meter (m).

“Sungai Rui di Jambatan Jalan Raya Perak (RHN), Hulu Perak dengan Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang (RHN), Kampar pula merekodkan bacaan melebihi paras amaran dengan masing-masing pada ketinggian 165.87m dan 22.31m,” katanya.

MG Perak pada pagi Rabu melaporkan Seramai 1,042 orang daripada 351 keluarga ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah sekitar Perak. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kuala Kangsar masih catat bilangan mangsa banjir tertinggi

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI