Mangsa banjir di Perak lepasi angka 300

IPOH – Mangsa banjir di tiga daerah di Perak melepasi angka 300 apabila 304 daripada 83 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pagi Isnin.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, berlaku penambahan bilangan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, di Hilir Perak.

Menurutnya, setakat jam 8 pagi, seramai 141 mangsa daripada 35 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan berbanding 134 mangsa daripada 34 keluarga pada tengah malam tadi.

Katanya lagi, mangsa-mangsa berkenaan ditempatkan di PPS susulan kawasan penempatan di Kampung Batu dan Kampung SC Ayer Hitam dinaiki air.

“Sementara angka mangsa banjir yang berada di PPS di Kerian dan Taiping kekal dalam tempoh sama.

“Di Kerian, PPS SK Changkat Lobak dan PPS SK Parit Haji Aman Bagan Serai masing-masing menempatkan mangsa banjir seramai 63 dan 50 orang.

“Kesemua mereka dari Kampung Matang Tengah, Kampung Beriai, Kampung Air Itam 2, Kampung Parit Ali Kalang, dan Kampung Beriah di Alor Pongsu.

“Sementara PPS SK Matang di Taiping menempatkan 50 mangsa daripada 15 keluarga semenjak PPS itu dibuka pada Jumaat lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, kesemua mangsa ditempatkan di PPS berkenaan dari kawasan terjejas banjir iaitu Kampung Jebong Kiri, Kampung Tebuk, Kampung Matang Gelugor, Kampung Matang Pasir, Kampung Jebong Kiri dan Kampung Teluk Kertang Matang.

Dalam pada itu ujarnya, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), aras Sungai Perak di Pasang Api, Bagan Datuk melepasi aras waspada iaitu 2.15 meter.

Pada masa sama, katanya Jabatan Meteorologi (METMalaysia) meramalkan Hilir Perak mengalami cuaca ribut pada sebelah petang.

Sementara Larut Matang Selama dan Kerian masing-masing diramal akan mengalami ribut pada sebelah petang dan hujan pada malam. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

134 mangsa banjir di Hilir Perak ditempatkan di PPS

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI