TAPAH – Tiada yang lebih bermakna apabila sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini dirayakan dengan rumah baru selepas kediaman asal di Kampung Baru Bukit Pagar dekat sini musnah dalam kebakaran pada Jun tahun lalu.
Tham Seng Chong, 63, berkata, dia sememangnya tidak menyangka apabila hasratnya untuk memiliki sebuah rumah baharu akhirnya tercapai.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu untuk mendapatkan rumah. Ia menjadikan perayaan Tahun Baru Cina saya pada tahun ini lebih bermakna.
“Jika ada masa, saya akan adakan jamuan kecil-kecilkan sebagai meraikan kediaman baharu ini. Malah lazimnya, kesemua ahli keluarga turut beraya bersama-sama saya di sini,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan kunci disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Choong Shin Heng di Kampung Baru Bukit Pagar, dekat sini, pada Khamis.
Hadir sama, Eksekutif Pembangunan Sosial Yayasan Perak, Muhammad Azri Mohammad Fuzi.
Rumah yang dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan satu tandas itu dibangunkan Kerajaan Negeri Perak melalui Yayasan Perak di bawah Program Sayangi Rumahku dengan kos RM75,000.
Seng Chong yang masih bujang dan bekerja sebagai buruh kampung berkata, sejak insiden kebakaran berlaku, dia hanya mampu menyewa bilik kecil bagi meneruskan hidup dengan kadar RM150 sebulan.
“Saya tidak ada pendapatan tetap, malah saya tidak mahu menyusahkan adik-beradik lain dengan menumpang rumah kerana mereka pun sudah ada ramai anak,” kata anak bongsu daripada 10 beradik itu.
Dalam pada itu Shin Heng berkata, beliau mengucapkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Yayasan Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang meluluskan permohonan pembinaan rumah baharu warga emas itu.
Beliau berkata, permohonan itu dikemukakan pihaknya selepas mengambil kira situasi lelaki itu yang kurang berkemampuan daripada sudut kewangan.
“Sebelum ini Seng Chong mendiami rumah yang dibina menggunakan papan di atas tapak yang sama. Dan atas sebab itu juga, api marak dengan cepat dan memusnahkan rumahnya pada Jun lalu.
“Bermula dengan proses permohonan, penilaian, pembinaan dan sebagainya, akhirnya rumah baharu berjaya disiapkan dalam tempoh enam bulan.
“Selain itu saya juga gembira apabila rumah ini berjaya disiapkan sebelum Tahun Baharu Cina yang bakal disambut hujung bulan ini,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Litar pintas dipercayai punca kebakaran SJKT Ladang Ayer Tawar