IPOH – Kepincangan masyarakat dan penyakit sosial melanda dunia ketika ini dapat dilihat sebagai bukti bahawa sekadar memilii undang-undang, ia tidak membawa kepada sebarang makna.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, segala kepincangan yang berlaku ketika ini adalah kerana manusia sudah mula kehilangan adab.
Titah baginda, kepincangan seperti penipuan, rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, penindasan dan sebagainya yang sedang berlaku kerana kita tidak mempunyai cukup undang-undang.
“Apabila manusia merasakan akal fikirannya terlebih pintar, dan sedang mabuk lambung gelombang kuasa, manusia mula beranggapan mereka berupaya melakukan pelbagai helah untuk menguasai dunia serta mendominasi manusia lain.
“Mereka beranggapan memiliki kekebalan, bebas dan terlepas daripada hukum dunia, lalu undang-undang dipersenda, dimanipulasi dan akhirnya disisihkan, tanpa sedikit pun merasa gentar terhadap alam kubur, terhadap kewujudan Mahkamah Rabbul Jalil pada hari kebangkitan, dan wujudnya pembalasan di akhirat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan Pemerkasaan Integrasi Antara Fiqh dengan Tasawuf di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, dekat sini, pada Selasa.
Turut berangkat ke majlis, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa; serta Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.
Hadir mengiringi keberangkatan baginda, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Selain itu Sultan Nazrin bertitah, ketaasuban manusia mengejar dunia, ilmu tasawuf diibaratkan sebagai ‘oasis’ atau wahah dalam kekeringan kehidupan dunia moden yang fatamorgana.
Titah baginda, ilmu tasawuf berhasil membimbing manusia untuk sentiasa mendekatkan diri kepada ALLH SWT sehingga akhir hayat, dan seterusnya akan terselamat di dunia mahupun diakhirat.
“Kehadiran ilmu tasawuf merupakan tindak balas menyelamatkan umat Islam yang sedang ditenggelami kesesatan, menikmati penyimpangan duniawi, sehingga rohani manusia menjadi gersang.
“Lalu manusia menjadi semakin alpa dan memandang ringan terhadap akhirat. Lantas tidak lagi merasa gentar terhadap hari pembalasan ataupun takut kepada pembalasan Ilahi,” titah Sultan Nazrin.
Baginda bertitah, sejak terpinggirnya didikan ilmu tasawuf di bangku sekolah, manusia kini seperti jasad yang hilang rohnya dan bagaikan pohon yang hilang sumber air.
Titah Sultan Nazrin, ummah kini sudah tidak lagi mementingkan rohani, sebaliknya dibelenggu dengan habuan kebendaan dan keduniaan.
“Turut terdapat gerakan membenci tasawuf sehingga melahirkan generasi yang tidak beradab malah ke peringkat bersifat biadab, menderhakai ibu bapa dan guru, generasi yang tidak malu menghina umara dan ulama.
“Juga menyanggah dan mencabar ulul amri dengan mengucapkan kata-kata yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang mukmin,” titah baginda lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin berkenan rasmi Hospital UTAR