MARA tak layan rayuan penyewa premis langgar perjanjian – Asyraf

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan ramai penyewa premis MARA merayu kepadanya supaya tidak dikenakan tindakan.

Jelasnya, ia selepas MARA sejak awal tahun ini mula mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang sedia ada ke atas penyewa premis MARA yang melakukan beberapa kesalahan serius.

Antara kesalahan itu, kata beliau, premis yang disewa dengan kadar amat rendah tidak dibuka kerana hanya dijadikan lokasi (guna alamat) oleh kontraktor yang ingin membida kontrak-kontrak kerajaan di daerah tersebut.

Selain itu, katanya, terdapat penyewa yang menggunakan premis MARA sebagai stor bukan untuk menjalankan perniagaan sebagaimana yang disarankan.

Kesalahan lain, ujarnya, premis yang disewa tidak digunakan sebagaimana yang dipersetujui dalam kontrak penyewaan.

“Malah ramai juga penyewa yang culas membayar sewa yang hakikatnya kadar MARA tetapkan amat rendah berbanding kadar pasaran semasa.

“Sebab itulah awal tahun ini saya sudah arahkan MARA seluruh Malaysia untuk ambil tindakan tegas mengikut aturan undang-undang.

“Saya tegaskan di sini, saya tidak akan melayani dan tiada lagi kompromi bagi mereka dalam kategori di atas,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook hari ini.

Tambah Asyraf Wajdi, tindakan tegas tanpa kompromi itu perlu diambil kerana beliau memegang amanah rakyat dan premis-premis MARA itu dibangunkan menggunakan duit rakyat dengan matlamat yang ditetapkan.

“Justeru, adalah amat zalim jika premis-premis yang boleh dimanfaatkan kepada usahawan-usahawan yang benar-benar genuine untuk berniaga tetapi akhirnya tak dapat digunakan kerana dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI