KUALA LUMPUR – Tindakan pelaksanaan penghakiman terhadap Rozita Che Wan ditangguhkan setelah Majlis Amanah Rakyat (Mara) berjaya mendapat bayaran tertunggak sebanyak RM550,000 daripada selebriti terkenal berkenaan sehingga Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelakon berkenaan yang lebih popular dikenali sebagai Che Ta perlu menjelaskan baki hutang tertunggak sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan sebelum hujung Mac tahun depan.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi sekali lagi menegaskan, Mara tidak akan berkompromi dengan segala tindakan untuk mendapatkan balik setiap sen wang rakyat yang diamanahkan.
Tegas beliau, ini akan membolehkan wang itu dimanfaatkan pula kepada orang lain yang amat memerlukan.
“Sekarang ini amanah di atas bahu saya untuk pastikan setiap sen wang rakyat terpelihara. Tiada kompromi bagi yang culas tanpa mengira siapa pun mereka!” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, kediaman Che Ta yang juga usahawan dilaporkan diserbu pegawai Mara bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Susulan itu, bahagian undang-undang Mara juga dikatakan dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap Che Ta dan anak sulungnya, Ammar Effendy, 28, ekoran gagal membayar pinjaman tersebut.
Difahamkan, pada Julai tahun lalu, Mara sudah memfailkan notis kebankrapan kepada Rozita dan anaknya itu tetapi ditarik balik pada bulan lalu disebabkan wujud isu teknikal sebelum diteruskan dengan tindakan writ penyitaan dan penjualan (WSS) harta pelakon terbabit.
Ekoran itu juga, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menerusi satu dokumen pada Isnin lalu mengeluarkan perintah lelongan terhadap sebanyak 34 barangan milik pelakon berkenaan bernilai RM902,012.46 yang akan mula dilakukan pada Selasa lalu namun kemudiannya ditunda. – MalaysiaGazette