LUMUT – Tiga remaja yang dilaporkan hanyut ketika menaiki sampan di perairan Pasir Panjang, Manjung berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak pada Rabu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kesemua mangsa ditemukan selamat pada jam 8.25 malam melalui operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT).
Menurut beliau, laporan kehilangan ketiga-tiga remaja berkenaan diterima pada jam 6.57 petang semalam dan operasi CARILAMAT telah diaktifkan dengan Bot PERKASA 1223 digerakkan ke lokasi kejadian yang dianggarkan kira-kira 3.2 batu nautika tenggara Pulau Katak.
“Keadaan cuaca semasa operasi dilaporkan kurang baik dengan angin barat laut berkelajuan antara 30 hingga 40 kilometer sejam.
“Ketinggian ombak mencecah 1.5 hingga 2.5 meter serta ribut petir di beberapa kawasan, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan di laut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut beliau berkata, Bot PERKASA 1223 dilaporkan tiba di lokasi pada jam 8.25 malam dan berjaya menemukan ketiga-tiga mangsa dalam keadaan selamat bersama bot sampan mereka.
Jelasnya, semua mangsa seterusnya dibawa ke Jeti Marina Island, Lumut sebelum diserahkan kepada waris masing-masing pada jam 10.10 malam.
Operasi CARILAMAT ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.30 malam setelah aset kembali ke pangkalan.
Beliau turut menasihati ibu bapa dan keluarga yang tinggal berhampiran kawasan perairan agar sentiasa memantau serta peka terhadap pergerakan anak-anak, khususnya golongan remaja, supaya tidak keluar ke laut tanpa pengawasan dan langkah keselamatan yang sewajarnya. -MG Perak



